Friday 7 March 2014

Kalimah Allah: NGO Islam cuba rempuh pintu mahkamah (Video Inside)


Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan permohonan gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya sebelum ini yang memutuskan Kementerian Dalam Negeri mempunyai hak mengharamkan penggunaan perkataan itu dalam Herald.

Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Sementara itu di luar mahkamah, kira-kira 1,500 peserta perhimpunan yang kebanyakannya terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam hari ini cuba merempuh masuk ke Istana Kehakiman kira-kira jam 11.15 pagi tadi.


Gerakan yang dicetuskan oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali itu kini mula berkumpul di hadapan perkarangan mahkamah namun cuba dikawal oleh polis.

Setakat ini peserta perhimpunan melempar mikrofon dan botol air mineral ke arah pintu kaca di mana tempat wartawan dan orang awam sedang menunggu.


Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata orang ramai meluru ke arah pintu cermin utama Istana Kehakiman sebaik sahaja mendapat tahu peguam gereja Katolik mempersoalkan mengapa penggunaan Allah oleh penganut Kristian dijadikan isu selepas 14 tahun Herald menggunakannya, sebelum pengharaman oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2009.

"Penyokong (kami) mendapat tahu ini antara hujah peguam gereja Katolik, jadi mereka kecewa," katanya.

Sambil mengatakan tidak ada arahan untuk mereka berbuat begitu, Ibrahim bagaimanapun mempertikaikan mengapa penyokong gereja dibenarkan masuk ke dalam mahkamah sedangkan penyokong NGO Islam tidak boleh.

"Ahli Comango semuanya di dalam sedang menikmati teh, mengapa mereka dibenarkan masuk," katanya, merujuk kepada pertubuhan hak asasi yang baru-baru ini dituduh menyokong murtad.

"Mereka ini bukan badan berdaftar pun, tidak seperti kami,” katanya.

Beratus penyokong Perkasa dan beberapa pertubuhan Islam lain yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik berhimpun di perkarangan Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan permohonan gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu, lima bulan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa menteri dalam negeri mempunyai budi bicara melarang penggunaan kalimah Allah di dalam Herald.

Mengenai penangguhan tersebut, Ibrahim berkata, ia boleh diterima kerana perkara tersebut merupakan sesuatu yangs serius dan perlu dipertimbangkan hakim.

"Kami percaya apa-apa keputusan yang dibuat adalah bijak, maka biarlah mereka mengambil masa.

"Kami orang Islam, kami tahu bersabar," katanya.

Ibrahim berkata, umat Islam bertolak ansur untuk sekian lama dan menerima semua kaum di Malaysia.

"Sekarang mereka naik kepala kami," katanya.

Ketika ditanya sama ada penganut Kristian dan Islam boleh hidup bersama secara aman, selepas insiden serangan bom molotov ke atas gereja, Ibrahim berkata:"Kamu bercakap mengenai bom tapi bukan daging babi yang dilempar di masjid.

"Sudah tentu kami bantah serangan ke atas gereja, tetapi janganlah melihatnya daripada satu sudut sahaja," katanya merujuk kejadian sekeping daging dipercayai khinzir yang dilempar di masjid Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, bulan lalu.

Semanatara itu, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdul Rahman Mat Dali, berkata biarpun beliau menghormati penangguhan untuk memberi masa kepada hakim, umat Islam mungkin tidak berpuas hati kerana kes ini akan berpanjangan.

"Apa yang membimbangkan ialah sesetengah penganut Krisian mahu terus guna perkataan (Allah) biar apa pun keputusan mahkamah," katanya, sambil menambah perjuangan gereja untuk menggunakan nama Allah adalah salah satu usaha mubaligh Kristian mengembangkan agama mereka.

"Kami sangat bertoleransi dan memberikan mereka banyak kebebasan, tetapi mereka semakin tamak dan mahukan lebih banyak," katanya ~ The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment