Monday 10 March 2014

MH370 mungkin berpatah balik kata Pemangku Menteri..


Pihak berkuasa Malaysia kini menyiasat keseluruhan penumpang pesawat MH370 selepas didapati sekurang-kurangnya empat penumpang dengan identiti mencurigakan di atas pesawat yang hilang pagi semalam.

Dua lelaki, warga Itali dan Austria, memberitahu mereka tidak menaiki Boeing 777-200ER yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing jam 12.40 pagi pada hari Sabtu.

Ia terputus hubungan dengan pengawal trafik lapangan terbang pada jam 1.30 pagi dan tidak tiba di Beijing.

"Kami sedang menyiasat keseluruhan kejadian, bukan hanya empat penumpang," kata Menteri Pengangkutan Pemangku Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada pemberita di KLIA pagi ini.

Pesawat yang hilang masih belum ditemui walaupun Hishammuddin mengesahkan yang tumpahan minyak ditemui di kawasan carian di perairan antara Malaysia dan Vietnam.

"Kehilangan MH370 bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan. Pihak perisikan daripada negara-negara berkenaan diberitahu dan kami akan berkongsi maklumat berkenaan hasil siasatan," katanya.

"Berikutan perbincangan, agensi perisikan dari pelbagai negara bersetuju bekerjasama untuk memeriksa senarai penumpang dan pasport yang dicuri."

Hishammuddin berkata, rakaman video litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga akan dikaji semula.

"Bagaimana empat individu berjaya menaiki MH370 dengan pasport curi juga sedang dibincangkan."

"Bagaimanapun, ini adalah rangkaian antarabangsa dan kita tidak boleh menyalahkan Jabatan Imigresen semata-mata."

Hishammuddin berkata, pihak berkuasa memeriksa senarai penumpang yang ada sekali lagi dan bertemu pegawai daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya sama ada ini adalah disebabkan kelemahan keselamatan, Hishammuddin berkata, mereka masih tidak dapat menentukan sama ada ia berkaitan risiko keselamatan, apatah lagi kelemahan.

"Janganlah kita terus membuat kesimpulan dan membuat spekulasi liar. Jika ia berkaitan kelemahan keselamatan, maka kita perlu kenal pasti puncanya."

“Kami sedang mengkaji semua kemungkinan tetapi isu utama sekarang adalah untuk mencari MAS MH370 yang hilang," kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata, terdapat kemungkinan MH370 mungkin melakukan Air Turn Back (ATB) , yang bermakna pasukan mencari dan menyelamat (SAR ) perlu meluaskan carian mereka.

ATB bermakna pesawat terpaksa pulang ke lapangan terbang asal akibat kerosakan atau apabila mengesyaki berlaku apa-apa kerosakan pada pesawat.

"Saya menemui Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen semalam dan mereka bersetuju menghantar tambahan tiga kapal termasuk kapal dengan keupayaan sonar. "

Beliau juga mengesahkan bahawa laporan tumpahan minyak yang berlaku antara Malaysia dan Vietnam namun tiada sebarang serpihan ditemui di lokasi itu.

"Pihak berkuasa Vietnam menggunakan kapal ke kawasan tersebut untuk memastikan sama ada tumpahan minyak adalah daripada bahan api kapal terbang dan sama ada MH370 terhempas di kawasan itu atau tidak," kata Hishammuddin.

MAS berkata, pesawat berlepas pada jam 1:41 pagi dan hilang daripada radar kawalan trafik udara di Subang pada jam 2.40 pagi.

Rentetan kejadian menggambarkan pesawat mampu berada di udara selama dua jam - satu tempoh cukup lama untuk terbang bukan sahaja di seluruh Teluk Thailand tetapi juga jauh ke utara Vietnam.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Flightradar 24, Fredrik Lindahl dari syarikat pesawat perkhidmatan pengesanan dalam talian berkata, hubungan radar terakhir pada 1:19 pagi, kurang 40 minit selepas penerbangan bermula.

Pihak berkuasa semalam berkata, perbualan terakhir antara anak kapal dan kawalan trafik udara di Malaysia adalah lebih kurang pada jam 1:30 pagi.

~ The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment