Monday 10 March 2014

Wan Azizah ganti Anwar Ibrahim bertanding di Kajang!!!


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini dengan menggantikan ketua pembangkang itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Wan Azizah diumumkan sebagai calon di Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang di Batu 12 hari ini yang diumumkan sendiri oleh Anwar.

Anwar terlucut kelayakan untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan penyandang daripada PKR iaitu Lee Chin Cheh selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Wan Azizah akan berdepan dengan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Zaid Ibrahim bagi kerusi berkenaan.

Lee memenangi kerusi DUN Kajang pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) dengan majoriti 6,824 undi, menewaskan calon BN Lee Ban Seng dan beberapa calon bebas dalam pertandingan enam penjuru.‎

"Badan kehakiman diperalatkan Umno untuk menghalang saya sebagai calon.

"Dengan ini saya umumkan Wan Azizah sebagai calon PRK DUN Kajang," kata Anwar.

Anwar turut berkata, beliau akan berkempen seperti biasa bagi membantu isterinya itu.

Keputusan berkenaan turut diterima sebulat suara rakan komponen PR daripada PAS dan DAP serta memberi komitmen untuk membantu kemenangan Wan Azizah di Kajang.

"Saya mewakili rakyat biasa melihat ketidakadilan ini. Kita tidak boleh ditindas, terus ditindas.

"Jangan undur, kita teruskan perjuangan. Sebagai Presiden PKR, saya ambil tanggungjawab ini," kata Wan Azizah pada sidang media itu.

Dengan pengumuman itu, Wan Azizah sekali lagi membantu karier politik Anwar selepas beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1999 ketika Anwar dipenjarakan atas kesalahan salah guna kuasa.

Wan Azizah bertanding atas tiket Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau memenangi kerusi berkenaan selama dua penggal iaitu pada pilihan raya 2004 dan 2008.

Pada September 2008, beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan Anwar menyertai semula arena politik sebagai wakil Parlimen.

~ The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment