Monday 10 March 2014

MH370 dilapor terjunam ke dalam laut oleh Tentera Laut Vietnam


Pihak berkuasa di Vietnam mengesahkan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Beijing pagi tadi telah terhempas di Laut Cina Selatan, menurut sebuah akhbar Vietnam.

Laporan akhbar Tuoi Tre memetik admiral tentera laut Ngo Van Phat sebagai berkata radar tentera mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang itu terhempas ke dalam laut, 153 batu selatan Pulau Phu Quok.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Malaysian Airlines, Ahmad Jauhari Yahya dalam sidang media pagi tadi berkata penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu terdiri daripada 14 warganegara berbeza.

Mereka termasuk warganegara 152 orang rakyat China, Malaysia (38), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), U.S (3), New Zealand (2), Kanada (2), Ukraine (2), Russia (1), Itali (1), Belanda (1), Taiwan (1) dan Austria (1).


Bercakap pada pemberita di sidang media di Sama-Sama Hotel di Sepang, Ahmad berkata kenyataan rasmi hanya dikeluarkan pada 8.30 pagi memandangkan pesawat tersebut masih mempunyai baki minyak mencukupi untuk terbang sehingga waktu ini.

"MAS sahkan pesawat MH370 hilang perhubungan dengan pusat kawalan udara Subang pada 2.40 pagi. Bagaimanapun, ia memiliki baki minyak mencukupi untuk terbang ke Beijing," kata Ahmad.

Beliau juga berkata spekulasi mengatakan pesawat yang berkongsi kod bersama China Southern Airlines telah mendarat di Nanning masih belum dapat disahkan.

Pesawat Boeing 777-200 tersebut berlepas dari Malaysia pada 12.41 pagi dan sepatutnya di Beijing pada 6.30 pagi tadi (waktu China), tetapi hilang pada 2.40 pagi.

"Pesawat MH370 dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah berusia 53 tahun yang mempunyai jumlah jam penerbangan lebih 18,365 jam.

"Pegawai pertama adalah Fariq Ab Rahman berusia 27 tahun yang mempunyai jumlah penerbangan 2,763 jam," kata Ahmad.

Beliau berkata Zaharie sudah berkhidmat dengan MAS pada 1981 dan Fariq pula pada 2007.

Ahmad mengesahkan sudah menghubungi pihak berkuasa Vietnam untuk meminta bantuan bagi mencari pesawat MH370, yang berusia 11 tahun dan 10 bulan itu.

Ketika ditanya sama ada MAS akan menyekat penerbangan pesawat Boeing 777-200, Ahmad berkata ia bergantung jika terdapat bukti kegagalan teknikal.

Malah, pengeluar pesawat tersebut masih belum membuat sebarang cadangan, tambah beliau.

Sebelum itu, MAS menghubungi ahli keluarga terdekat dan anak kapal pesawat MH370 selepas ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara awal pagi ini.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter, menggesa ahli keluarga penumpang dan anak kapal bertenang.

"Kepada ahli keluarga penumpang dalam pesawat, bertenang dan dapatkan maklumat yang sahih. Kami akan maklumkan. Doa untuk semua," tulis beliau.

MAS berkata ia akan menyediakan laporan terkini dari masa ke semasa. Orang ramai boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat.

Ahli keluarga penumpang dan anak kapal disarankan berkumpul di Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA. Untuk maklumat, hubungi 03-8787 1269.

Orang ramai juga boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk maklumat lanjut  ~ The Malaysian Insider 

Sementara itu...kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, laporan mengatakan pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas di perairan pulau Tho Chu island, Vietnam belum disahkan..

Hishammuddin berkata sebarang spekulasi perlu disahkan kesahihan terlebih dahulu.

"Tolong jangan buat spekulasi tentang nasib MH370 kerana semua dakwaan dan tanggapan ini perlu disahkan dahulu," kata Hishammuddin dalam sidang media di Sama-Sama Hotel, Sepang hari ini.

Hishammuddin juga mengarahkan pihak Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menyemak mengenai khabar angin yang dikatakan datang daripada tentera laut Vietnam," katanya.

Kedudukan terakhir MH370 sebelum hilang daripada radar adalah 065515 utara (longitude) dan 1033443 timur (latitude).

Usaha mencari dan menyelamat tertumpu di lokasi terbabit untuk mengesan peswat tersebut, bagaimanapun ketika ini masih buntu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata semua sumber angkatan tentera Malaysia dikerah ke lokasi pesawat hilang tersebut.

Selain itu, Hishammuddin memberitahu pesawat Hercules C-130 diarahkan untuk membantu usaha mencari tersebut.

Pihak askar juga menghantar kapal laut dan helikopter untuk membantu operasi.

"Saya telah berbincang dengan anggota senior angkatan tentera pagi ini dan mengarahkan semua sumber dikerahkan dalam operasi ini," kata Hishammuddin. Selain itu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dilantik sebagai individu bertanggungjawab mengendalikan segala maklumat kepada pihak media.

"Taklimat media akan diadakan setiap dua jam kepada media bagi memberikan maklumat terkini.

"Kami akan cuba jadi setelus mungkin," kata Hishammuddin.

Hishammuddin juga mengesahkan setakat ini masih belum ditemui sebarang tanda bangkai pesawat atau menerima laporan mengenai perkara tersebut.

"Tiada sebarang maklumat mengenai penglibatan pengganas dalam kehilangan MH370.

"Bagaimanapun kami tidak menolak sebarang kemungkinan."

0 comments:

Post a Comment