Sunday 21 July 2013

Peguam UMNO,Datuk Hafarizam diperintah bayar RM10,000 kepada Dun Selangor.


Selalunya peguam UMNO ,Datuk Hafarizam Harun menang kes,pada kali ini dia kena bayar kos mahkamah Rm10,000 kepada DUN Selangor.
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memerintahkan rayuan yang dikemukakan Dun Selangor dan dua yang lain berkaitan saman yang dikeluarkan terhadap peguam Datuk Hafarizam Harun supaya menjawab tuduhan menghina mahkamah, diteruskan di Mahkamah Rayuan.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel lima anggota, menolak permohonan Hafarizam agar persoalan berkaitan perlembagaan diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Panel itu turut dianggotai presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
Arifin juga memerintahkan Hafarizam membayar kos mahkamah RM10,000 kepada Dun Selangor, Setiausaha Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Selangor, Mohamad Yasid Bidin dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Selangor.
Hafarizam memohon agar tujuh persoalan perlembagaan berkaitan Perlembagaan Negeri Selangor, diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. 
Antara persoalannya ialah sama ada mahkamah boleh mendengar perkara berkaitan pengeluaran saman supaya seseorang itu menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan undangan negeri bagi menjawab tuduhan menghina.
Pada 1 April 2011, Hafarizam dan anak guamnya bekas anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah, dirujuk kepada jawatankuasa itu kerana dituduh menghina Dewan.
Dun Selangor meluluskan usul untuk merujuk mereka kepada jawatankuasa itu setelah mereka dikatakan mendesak bekas Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Khim supaya melunaskan bayaran RM40,000 atau menghadapi tindakan muflis.
Pada 19 jan 2011, Chang Khim mengisytiharkan kerusi Pelabuhan Klang kosong dengan mendakwa Badrul Hisham tidak menghadiri persidangan dewan tanpa cuti selama enam bulan berturut-turut. Bagaimanapun, pada 18 Februati 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengubah perintah itu dan memerintahkan Chang Khim membayar kos mahkamah sebanyak RM40,000 kepada Badrul Hisham.
Pada 12 April 2011, saman dikeluarkan kepada Hafarizam, 41, supaya menghadap jawatankuasa tersebut bagi menjawab pertuduhan menghina dewan kerana menghantar sepucuk surat kepada peguam yang mewakili Chang Khim, Tetuan Tommy Thomas bagi menuntut bayaran RM40,000, sejajar dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah.
Beliau dituduh menghantar surat itu dengan menggunakan bahasa yang boleh dianggap lucah, biadab dan mengancam.
Pada 31 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Hafarizam mengemukakan saman sivil bagi mengetepikan saman yang dikeluarkan terhadapnya.
Mahkamah itu memutuskan bahawa saman yang dikemukakan Dun Selangor terhadap Hafarizam supaya menghadap jawatankuasa berkenaan bagi menjawab tuduhan menghina dewan adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dun Selangor, Mohamad Yasid Bidin dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Selangor memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Rayuan itu dijadual dibawa bagi pengurusan kes pada 1 Ogos.

Pada perbicaraan hari ini, Abdull Hamid mempersoalkan sama ada wajar bagi Mahkamah Persekutuan menentukan persoalan berkaitan undang-undang kerana rayuan berhubung perkara itu belum diputuskan Mahkamah Rayuan.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Hafarizam, menjawab dengan berkata Mahkamah Persekutuan tidak terhalang daripada melaksanakan kuasanya untuk memutuskan persoalan berkaitan undang-undang.  

Katanya terdapat isu penting dari segi perlembagaan berhubung kekebalan, yang bukan sahaja memberi kesan terhadap Selangor, tetapi juga negeri lain.

"Adalah sesuatu yang amat besar manfaatnya jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang perkara ini secara muktamad dan menyelesaikan kes ini," katanya.
Peguam Chan Kok Keong, yang mewakili responden pula berkata beliau membantah permohonan Hafarizam agar mahkamah persekutuan membuat keputusan tentang persoalan undang-undang kerana perkara itu sepatutnya didengar Mahkamah Rayuan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment