Showing posts with label Azizah. Show all posts
Showing posts with label Azizah. Show all posts

Monday, 10 March 2014

Wan Azizah ganti Anwar Ibrahim bertanding di Kajang!!!


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini dengan menggantikan ketua pembangkang itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Wan Azizah diumumkan sebagai calon di Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang di Batu 12 hari ini yang diumumkan sendiri oleh Anwar.

Anwar terlucut kelayakan untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan penyandang daripada PKR iaitu Lee Chin Cheh selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Wan Azizah akan berdepan dengan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Zaid Ibrahim bagi kerusi berkenaan.

Lee memenangi kerusi DUN Kajang pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) dengan majoriti 6,824 undi, menewaskan calon BN Lee Ban Seng dan beberapa calon bebas dalam pertandingan enam penjuru.‎

"Badan kehakiman diperalatkan Umno untuk menghalang saya sebagai calon.

"Dengan ini saya umumkan Wan Azizah sebagai calon PRK DUN Kajang," kata Anwar.

Anwar turut berkata, beliau akan berkempen seperti biasa bagi membantu isterinya itu.

Keputusan berkenaan turut diterima sebulat suara rakan komponen PR daripada PAS dan DAP serta memberi komitmen untuk membantu kemenangan Wan Azizah di Kajang.

"Saya mewakili rakyat biasa melihat ketidakadilan ini. Kita tidak boleh ditindas, terus ditindas.

"Jangan undur, kita teruskan perjuangan. Sebagai Presiden PKR, saya ambil tanggungjawab ini," kata Wan Azizah pada sidang media itu.

Dengan pengumuman itu, Wan Azizah sekali lagi membantu karier politik Anwar selepas beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1999 ketika Anwar dipenjarakan atas kesalahan salah guna kuasa.

Wan Azizah bertanding atas tiket Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau memenangi kerusi berkenaan selama dua penggal iaitu pada pilihan raya 2004 dan 2008.

Pada September 2008, beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan Anwar menyertai semula arena politik sebagai wakil Parlimen.

~ The Malaysian Insider

Friday, 7 March 2014

Sugul di hati tapi semangat masih tinggi, kata Wan Azizah


Pakatan Rakyat menzahirkan sokongan penuh terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Setia City Convention Centre, hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata tanggal 7 Mac yang mensabitkan Anwar dengan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan dalam keadaan tergesa-gesa itu merupakan satu titik sejarah hitam yang tidak akan melemahkan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, tegas beliau keputusan itu akan memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Kajang.

"Mac penuh bersejarah apabila pada 3 Mac memberi kenangan pahit bagi umat Islam satu iaitu tamatnya sistem khalifah Islam bila pemerintahan Uthmaniyah tumbang pada 1924, yang sejak dari itu dunia ketiga dijajah secara menyeluruh.

"7 Mac, Datuk Seri Anwar dihukum lima tahun penjara, kita lihat kerja yang mereka lakukan termasuk mempercepatkan perbicaraan hingga mahkamah semalam kerja lebih masa dengan harapan kononnya dapat menamatkan karier politik akan memperlahankan kemaraan kita ke Putrajaya.

"Peristwa 8 Mac ini, dengan adanya konvensyen ini akan memperkuatkan lagi PR dan Kajang akan menjadi ukuran yang begitu besar dengan kejayaan pada 23 Mac nanti," tegas beliau ketika ucapan perasmian konvensyen, pagi ini.

Tambah Mohamad, kerajaan atau Umno boleh mengambil apa sahaja yang mereka inginkan, namun tidak boleh mengambil semangat rakyat yang bangkit bersama perjuangan Pakatan Rakyat.

Sokongan tersebut turut dizahirkan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang menyifatkan keputusan itu sebagai perancangan tersusun bertujuan memusnahkan Pakatan Rakyat dengan menggunakan Anwar supaya BN boleh terus merompak harta rakyat.

"Segala penganiayaan, penjara, pendakwaan, dan kezaliman akan kita atasi bersama kerana kebaikan akan menang ke atas kejahatan, kerana cahaya akan mengatasi kegelapan," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau menyeru pimpinan dan anggota Pakatan Rakyat untuk bersedia denga taktik kotor BN supaya lebih bersungguh-sungguh agar boleh merapatkan pakatan agar perjalanan ke Putrajaya berjaya.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, ketika berucap menyatakan bahawa kesedihan ini merupakan kesedihan sementara bagi meneruskan perjuangan menentang kezaliman.


"Walau sugul di hati, semangat di hati masih tinggi. Air mata ini akan mengalir sekejap sahaja, apabila dilap ia akan berhenti. Ia adalah ujian agar kita tidak lalai dan leka.

"Kita akan gilap semula, mengapa kita berada di sini. Hidup ini mesti dalam realiti, tetapi idealisme perjuangan itu memberi kita kekuatan," tegas beliau.

Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-5 diadakan di Setia City Convention Centre dengan tema Pakatan Membela Rakyat, disertai hampir 3000 peserta.

Sunday, 23 February 2014

Wan Azizah tolak Anwar sebagai MB?.. Betoi ka ni Kak Wan?


Laporan ini datangnya dari sebuah portal Pro UMNO.. Jadi faham-fahamlah...

Setelah sekian lama mengambil pendekatan mendiamkan diri, akhirnya Presiden PKR, Wan Azizah Wan Izmail akhirnya tampil membuat kenyataan sambil menolak dakwaan yang mengatakan Ketua Umum parti itu, Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor dari Abdul Khalid Ibrahim.

"Tan Sri Khalid sudah mengendalikan kerajaan negeri dan kita sudah tengok sebagai Menteri Besar Selangor... tidak ada cacat cela.. jadi kita teruskan. Kehadiran Anwar (di Selangor) pula, hanya nak membantu.. " katanya semalam apabila diminta mengulas mengenainya.

Anwar sebelum ini menyifatkan pentadbiran Khalid lemah kerana gagal menguruskan dana kewangan negeri dengan baik sehingga menyebabkan Selangor mempunyai lebihan kewangan yang banyak seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Dia turut membayangkan wujud kemungkinan untuk dirinya mengambil alih jawatan tersebut walaupun dia pernah berulang kali mengatakan isu tersebut hanyalah merupakan spekulasi.

Ketika diwawancara oleh Australia’s Newsline, ahli parlimen Permatang Pauh itu mengatakan dia sedang berunding dengan Khalid dan berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai model, sebelum pakatan pembangkang melangkah ke Putrajaya.

Seterusnya ketika ditemu bual oleh pihak media baru-baru ini, Anwar sekali membayangkan dia akan menerajui kepimpinan negeri dan akan berbincang dengan pimpinan pakatan rakyat bagi mendapatkan kerjasama.

“Kemungkinan itu ada. Kita kena bincang ikut proses pakatan” katanya. Paling menarik, portal pro-pembangkang, Malaysiakini juga seolah-olah menyokong idea untuk ‘memecat’ Khalid itu apabila sering melaporkan artikel yang berkaitan dengannya.

Sidang redaksi portal tersebut turut melaporkan kajian, kononnya 576 warga Kajang (yang dianggap sebagai suara majoriti penduduk Kajang) turut bersetuju dengan cadangan dan harapan Anwar, untuk bergelar Menteri Besar.

Disebabkan spekulasi itu juga beberapa orang pimpinan Pas, tampil membuat kenyataan bagi membantah ‘pengambilalihan kuasa’ itu antaranya kepimpinan sayap Pemuda Pas Pusat dan Pemuda Pas Selangor yang menyifatkan PRK Kajang sebagai membazirkan wang rakyat.

Desas-desus mengatakan, Anwar dikatakan sudah pun mendapat sokongan DAP namun masih pening dengan penegasan Pas yang kononnya mahukan Khalid terus kekal dalam jawatan itu.

Paling menarik, ada yang mengatakan, sudah ada usaha yang dibuat untuk mempelawa Khalid menyertai Pas sekiranya PKR masih berhasrat untuk memecatnya ~ Malaysia Instinct