Showing posts with label Kalthum. Show all posts
Showing posts with label Kalthum. Show all posts

Thursday, 25 July 2013

ALFATIHAH ~ Pelakon Umi Kalthum Meninggal Dunia Dalam Tidur

PETALING JAYA: Seniwati veteran iaitu Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati dekat sini pagi Rabu.
Anak Allahyarham, pelakon Noorkumalasari berkata, ketika kakak sulungnya hendak mengejutkan Allahyarham untuk bersahur kira-kira pukul 4 pagi, Umi Kalthum sudah tidak bergerak.
"Ketika kakak saya bersiap untuk bersahur, kakak pergi kejutkan ibu di dalam bilik dan mendapati dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pagi Rabu.
Noorkumalasari berkata, Allahyarham tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal dan beliau masih cergas walaupun sudah mencecah usia 81 tahun.
Malah ketika bertemu dengannya kira-kira dua hari lalu, Allahyarham tidak menunjukkan perubahan sebaliknya aktif berbual seperti biasa.
"Semasa saya berjumpa dengannya, saya bawakan dia sambal bilis dan kami sempat berborak sambil gelak katawa.
"Tiada apa-apa perubahan terhadap dia sehinggalah dia meninggal dunia pada hari ini (Rabu)," katanya.

Umi Kalthum meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati dekat sini pagi Rabu. Foto Ihsan Berita Harian.

Menurut Noorkumalasari, Allahyarham juga tidak meninggalkan apa-apa pesan tetapi selepas kematian suami iaitu pelakon S Roomai Noor kira-kira 17 tahun lalu di Mekah, Allahyarham kerap berkunjung ke Tanah Suci itu seolah-olah mahu melepaskan rindu kepada suami.
Semasa hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Wataknya jahatnya sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah yang digandingkan dengan Latifah Omar benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton.
Beliau juga pernah dipilih sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di Asia pada zaman kegemilangannya oleh sebuah majalah di Australia.
Hasil perkahwinan Allahyarham dengan S Roomai Noor, beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu dan seorang cicit.
Seorang lagi anak Allahyarham ialah penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan pertama S Roomai Noor dengan seniwati Siput Sarawak.
Jenazah dijadualkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Hulu Klang dekat sini sebelum solat Zuhur pada Rabu


✿*~ Kalau suka entry ni, sila tekan LIKE ye...Sharing is caring ^_^ ~*✿

5 SYARAT - Allahyarham Umi Kalthum sempat tulis nota sebelum pemergiannya



Inilah nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang ditemui di meja solek.
Sekeping nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang menyatakan lima syarat ditemui ketika ahli keluarga itu dihimpit rasa duka akibat kematian pelakon veteran tersebut pada Rabu.
Nota yang diletakkan di atas meja solek, rumah salah seorang anak Allahyarham hasil perkahwinan pertamanya antara lain menyenaraikan barang keperluan yang perlu digunakan sekiranya dia meninggal dunia.
Cucu dari suami pertama Allahyarham iaitu Amir Noor Muhamad , 32, berkata, dia menemui nota tersebut ketika masuk ke bilik untuk mencari kain kapan yang disimpan Allahyarham sebagai wasiat.
“Saya terkejut apabila saya masuk ke bilik, saya terjumpa sekeping nota yang arwah letakkan di atas meja mekap. Dia seolah-olah sudah tahu hendak pergi buat selama-lamanya,” jelas Amir Noor kepada mStar Online di sini pada Rabu.
Allahyarham Umi Kalthum meninggal dunia pada usia 81 tahun dalam tidur kira-kira pukul 4 pagi Rabu di rumah anak hasil perkahwinan pertamanya dengan individu yang dikenali sebagai Jaafar di Ukay Prima di sini pada Rabu.
Beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu serta seorang cicit hasil dua perkahwinannya termasuklah dengan pelakon Datuk S Roomai Noor.
S Roomai Noor meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah pada 16 Mac 1996 akibat paru-paru berair.
Gambar kenangan Amir Noor bersama neneknya dalam satu majlis berbuka puasa pada 21 Julai lalu.
Allahyarham Umi Kalthum turut memiliki seorang anak tiri iaitu penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan terdahulu S Roomai Noor dengan pelakon Siput Sarawak.
Dalam pada itu Amri Noor berkata, lima perkara yang dicatatkan oleh neneknya itu ialah kelengkapan bagi menguruskan jenazahnya iaitu; kain batik untuk menutup dan memandikan jenazah, dua helai kain ihram termasuk milik arwah suaminya sebagai kain kapan dan selendang putih menutup muka.
Turut ditulis ialah sarung bantal bagi kegunaan melapik kepala jenazah dan dua helai kain putih yang perlu diikat pada batu dan diletakkan di simpang jalan sebagai tanda ada orang meninggal dunia.
Kata Amir Noor lagi, sebagai cucu yang paling rapat, dia sering menemani Umi Kalthum untuk ke mana-mana majlis yang dianjurkan.
Allahyarham juga kata Amir Noor turut berpesan kepadanya agar mengebumikan jenazahnya di Tamah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang di sini iaitu berdekatan dengan kubur arwah ibunya apabila dia meninggal dunia.
Arwah juga katanya pernah melahirkan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah ataupun pada bulan Ramadan.
“Dua hari lepas dia ada telefon saya. Dia nak ajak saya bercuti ke Jakarta. Saya kata tak ada masalah. Kemudian dia bertahu, dadanya sakit sehingga kadang-kadang nak tarik nafas pun susah.
“Kerana masalah itu dia banyak kali berpesan kepada saya supaya saya menjaga kesihatan dengan baik,” katanya yang pernah berlakon dengan Allahyarham dalam filemYatim Mustapha pada tahun 1961.
Sepanjang hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Watak jahat iaitu Putih yang dipegangnya dalam Bawang Putih Bawang Merah pada tahun 1959 pernah menyebabkan dia dibenci peminat kerana sering mendera adik tirinya iaitu Merah lakonan Latifah Omar.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate selepas solat Zuhur pada Rabu.


✿*~ Kalau suka entry ni, sila tekan LIKE ye...Sharing is caring ^_^ ~*✿