Showing posts with label Kassim. Show all posts
Showing posts with label Kassim. Show all posts

Monday, 3 March 2014

Kassim Ahmad masuk Hospital


Pemikir dan penulis kontroversi, Dr Kassim Ahmad yang mencetuskan kegemparan dengan kemunculan semula mengkritik hadis di Seminar Pemikiran Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim sejak Rabu lalu kerana kesukaran bernafas.

Rombongan media MySuara yang sepatutnya menemubual beliau secara eksklusif semalam di rumahnya dimaklumkan oleh isterinya, Sharifah Fawziah bahawa beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan dan ditahan wad.

"Dia agak penat kerana selepas seminar tempoh hari, ramai orang datang ke rumah dan menerima banyak panggilan telefon. Anak kami mungkin akan membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," jelasnya sambil membawa kami meninjau bilik pejabat Dr Kassim di dalam rumah mereka..

Di bilik bacaan dan penulisan itulah Dr Kassim menghabiskan masa emasnya dalam usia 80 tahun untuk menghasilkan tiga karyanya iaitu Mencari Jalan Pulang, Islamic Renaissance dan Jalan Yang Lurus.

Masing-masing diterbitkan ZI Publications, Brainbowpress dan Pekan Ilmu.

Dr Kassim sebelum ini menyewa di Tanjung Bunga, Pulau Pinang sebelum berpindah ke rumah baru yang dibelikan anaknya Shauqi Kassim di Kulim pada 2006.

MySuara kemudian menziarahi beliau di Hospital Kulim ketika waktu melawat sebelah petang. Dr Kassim kelihatan sedang berehat dengan dibekalkan tiub oksigen untuk membantu penafasannya.

"Pagi tadi saya sudah pesan roti canai tetapi sampai lewat dan saya sudah minum pagi. Selera makan saya baik walaupun sudah tua. Nasinya sedap cuma lauk ikannya tidak berapa sangat," jelasnya yang sedang menikmati makan tengahari.

"Saya boleh berdialog lagi 3 jam," seloroh Dr Kassim dalam suara perlahan, serak dan batuk ringan.

Dalam pertemuan ringkas selama 30 minit itu, Dr Kassim sempat menerangkan pandangannya dan menjawab soalan-soalan tambahan dengan bersemangat.

Penampilan Dr Kassim seperti pesakit lain menyebabkan kelibatnya di Hospital Kulim tidak disedari.

Malah sepanjang temubual berlangsung beberapa orang doktor yang lalu lalang teruja apabila melihat buku Jalan Yang Lurus dan mengetahui pesakit mereka adalah penulis buku tersebut.

~ MySuara

Monday, 24 February 2014

Kenyataan penuh JAKIM berhubung isu Kassim Ahmad yang disokong mantan Presiden UMNO...


Mula-mula kita baca dulu apa kata mantan Perdana Menteri merangkap mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohammed dalam mempertahankan kenyataan Kassim Ahmad..

Mahathir berkata, Kassim sering disalah ertikan dan dilabel oleh pihak yang gagal berhujah dengan pemikir kontroversi itu.

Beliau berkata Kassim bukan anti-hadis dan sebenarnya sama seperti orang Islam yang lain.

"Dia (Kassim) dilabel anti-hadis kerana orang tak dapat jawab apa dia cakap. Saya pun dilabel sebagai anti-Cina, rasis, macam-macam lagi.

"Inilah yang dihadapi Kassim Ahmad, kalau baca al-Quran orang panggil anti-hadis. Orang-orang (yang melabel) ini tak ada akal fikiran untuk jawab balik (hujah Kassim)," katanya lapor Malaysiakini di SINI

BERIKUT pula adalah kenyataan penuh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian.

Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

- Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

- Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

- Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

- Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

- Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

- Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

- Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

i) Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.

ii) Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.

iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.

iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.

v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Quran

vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.

Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.

Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.

Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam.

Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.

Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.

Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri.

Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi.

Manakala ini pula adalah individu-individu yang bertanggungjawab menganjurkan Seminar Pemikiran Kassim Ahmad di Yayasan Kepimpinan Perdana Precint 8, Putrajaya pada Sabtu dan Ahad lalu..

Profesor Doktor Abdul Rahman Shaari (dua dari kiri) bersama rakan-rakan
 Sumber gambar datangnya dari SINI

Sunday, 23 February 2014

Ulama Muda UMNO tampil pertahan Mahathir dan Kassim Ahmad (Video Inside)


Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan bekas ketua Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) yang disifatkan cuba mentafsirkan al-Quran.

Menurut Zamihan, tindakan Kassim Ahmad itu memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang antihadis apabila mempertikaikan kandungan hadis-hadis sahih.

“...kesal dengan kenyataan celupar Kassim yang menghina Rasulullah SAW...ingin mentafsirkan semula al-Quran, menyamakan ulama dengan kasta paderi serta bertindak ingin meruntuhkan badan autoriti agama di negara ini.

"Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Kassim cuba mentafsirkan al-Quran dengan kenampakan akalnya yang cetek. Ia juga memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang anti hadis sebenar apabila beliau mempertikaikan kandungan hadis-hadis sahih yang terdapat di dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, kenyataan Kassim Ahmad itu merendahkan martabat Rasulullah SAW serta biadab kerana menyamakan ulama Islam dengan paderi Kristian.

Manakala Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menyahut cabaran PAS dengan mendesak agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar mengambil tindakan terhadap intelektual Melayu, Dr Kassim Ahmad kerana dikatakan mempersoalkan umat Islam hari ini yang terlalu mendewa-dewakan Nabi Muhammad.

Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, Jakim perlu segera bertindak kerana kenyataan Kassim yang turut mengatakan rambut bukanlah aurat bagi wanita dalam satu forum di Kuala Lumpur semalam sangat serius dan boleh menggelirukan umat Islam di Malaysia.

"Memang jika benar Kasim berkata demikian, ia satu keceluparan yang dahsyat, wajar di ambil tindakan kerana ia menghina Islam (menghina Allah), mencabar Majlis Raja-Raja Melayu serta kesannya boleh mengelirukan kefahaman terhadap Islam," kata Ibrahim.

Dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengecam mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga peneraju Perdana Leadership Foundation kerana menyokong dan mempertahankan pemikiran songsang, Kassim Ahmad.

Menurutnya, tindakan itu telah memberi ruang untuk menyegarkan semula fahaman terpesong itu walaupun ianya telah difatwakan oleh kebanyakan negeri sebagai pemikir yang sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

"Saya hairan bagaimana Mahathir boleh terpengaruh dengan ajaran sesat Kassim Ahmad hingga sanggup mempertahankannya.

"Saya mengecam bekas perdana menteri (Mahathir) yang menyokong dan mempertahankan (kenyataan Kassim)," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya.

Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmadini.. sila baca kenyataan medianya di ( SINI )

Tetapi ini pula adalah ulasan Ulama Muda UMNO, Ustaz Fathul Bari mengenai isu ini..


Asal video dari Abu Afiq Studio

Monday, 4 February 2013

Khabar angin Shahidan Kassim masuk PAS akhirnya terjawab

ALOR SETAR - “Saya tak pernah kata nak lompat parti,” tegas bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Adun Tambun Tulang.

Shahidan berkata, beliau tidak mungkin berhasrat untuk meninggalkan Umno kerana dirinya adalah seorang pejuang politik dan parti itu tidak pernah menimbulkan sebarang masalah terhadapnya.




# sila like "pakatan rakyat supporters"




“Orang lain mungkin. Buat apa saya nak lompat?. Parti tidak pernah buat salah pada saya, yang buat begitu orang lain. Saya tak sertai Pas seperti heboh diperkatakan, itu sekadar dua tiga orang bercakap di blog,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahidan memberi reaksi itu ketika diminta mengulas dakwaan blog mengatakan dirinya akan hadir berceramah bersama pemimpin Pas di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut.

Isu terbabit timbul gara-gara gambar Shahidan bersama pemimpin Pas Kedah terpampang pada kain rentang membabitkan program anjuran Pas Kuala Kedah.

Shahidan dijadualkan hadir pada majlis Wacana Perdana, PRU13: Ke mana arah tuju Islam dan Melayu bergandingan dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malek.

Rentetan itu, beliau dikaitkan akan menyertai Pas dalam masa terdekat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengulas perkara itu, Shahidan berkata, perkara itu tidak perlu dijadikan isu berikutan program terbabit adalah sebuah majlis ilmu.

“Ianya bukan isu dan tidak wajar dijadikan isu. Majlis wacana ilmu itu dikenali sebagai wacana perdana, menampilkan saya selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno. Ia bukan program politik,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir ke majlis berkenaan kerana masanya tidak sesuai kerana terpaksa berangkat ke Gaza pada keesokannya.

“Perkara itu dalam pengetahuan Setiausaha Agung Umno dan Menteri Besar Perlis dan menyifatkan ianya tidak sesuai ekoran pilihan raya semakin hampir,” katanya.

Shahidan berkata, beliau tiada masalah untuk bersama pemimpin Pas dalam satu pentas asalkan mendapat kebenaran Majlis Tertinggi dan diadakan di tempat terbuka.

“Anjuran siapa pun boleh jika dibuat di tempat sesuai. Lebih sesuai jika wacana ilmu diadakan di tempat terbuka dan bukan markas parti. Saya tak hadir sebab ada komitmen lain dan jemputan itu dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sudah dimaklumkan ketidakhadiran saya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Pas Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, majlis ilmu itu sememangnya bertujuan mendapatkan perbezaan pandangan antara parti politik utama di negara ini.

“Kita jemput Shahidan sertai perbincangan lintas parti, dapatkan pandangan parti lain berkaitan topik semasa. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi kongsi pandangan selama 10 minit melalui telefon walaupun tidak dapat hadir,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memilih Shahidan kerana mahu mendapatkan pandangan seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam isu berkaitan.


sumber sini