Showing posts with label Kajang. Show all posts
Showing posts with label Kajang. Show all posts

Friday, 28 February 2014

Musuh sebenar Anwar di Kajang dari PKR, Pakatan bukan BN


Musuh sebenar calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah daripada dalam PKR dan Pakatan Rakyat (PR), kata Lim Kit Siang .

Penasihat DAP itu menegaskan perebutan kuasa dan masalah dalaman di Selangor, negeri yang ditadbir PR itu adalah masalah utama yang perlu diselesaikan Anwar.

"Musuh sebenar di Kajang bukan daripada MCA atau Umno, tetapi daripada dalaman PKR dan Pakatan.

"Kemenangan 'simple majority' di Kajang adalah kekalahan. Kita perlu menyasarkan kemenangan besar untuk menyampaikan mesej Putrajaya menanti perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," kata Ketua Parlimen DAP itu dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur.

"Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, kekalahan sebenar kita adalah tindakan yang kita lakukan," katanya.

Kit Siang menegaskan, PRK Kajang juga bukan semata-mata demi masa depan politik Anwar, tetapi PR, tiga juta rakyat Selangor dan 30 juta rakyat Malaysia.

"Marilah kita hadapi realiti sukar bahawa kekalahan di Kajang dengan mencapai kemenangan bersejarah tidak boleh diterima," katanya.

Lim turut mengingatkan parti komponen PR untuk bersama-sama memastikan Anwar bukan sahaja memperoleh kemenangan, tetapi juga kemenangan besar.

"Ketepikan perbezaan kita, dan pastikan kita tidak melepaskan peluang sekali seumur hidup ini untuk anak-anak kita untuk memastikan perubahan di Putrajaya," katanya.

Barisan Nasional (BN) meletakkan calon mereka dari MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun untuk menentang Anwar.

Manakala bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim turut menyatakan hasrat menentang Anwar di Kajang bagi mengelak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digantikan sebagai menteri besar Selangor.

Sejak pengumuman Anwar untuk bertanding di DUN Kajang selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR melepaskan kerusi bekenaan, beliau dikhabarkan akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Malah, dalam ceramah-ceramah penerangan anjuran PKR di Kajang sejak beberapa minggu lalu, kedengaran pemimpin daripada sayap Pemuda PKR menyokong Anwar jika beliau dipilih sebagai menteri besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK DUN Kajang.

Manakala tarikh pengundian ditetapkan pada 23 Mac depan.

~ The Malaysian Insider

Monday, 24 February 2014

Isteri Rayu Calon Bebas Tidak Malukan Diri Sendiri Tanding DUN Kajang


Isteri kepada seorang Calon Bebas berharap agar suaminya tidak meneruskan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan.

Noraini yang juga Ketua Unit Penerbitan Radio, RTM berkata, dia tidak bersetuju dengan hasrat Herman memandangkan suaminya itu tidak mempunyai wang untuk bertanding sebaliknya akan dihina dan diketawakan oleh masyarakat.

"Saya terima Herman sebagai suami kerana dia seorang penyanyi, bukannya ahli politik. Dia bukannya ada wang yang banyak untuk 'melayan' perkara-perkara politik macam itu.

"Saya tidak suka dia 'membakar diri' dan menerangi yang lain, sedangkan tuanya nanti tidak ada siapa yang peduli.

"Sebagai isteri, saya tidak senang apabila tindak tanduknya diketawakan dan dihina pula," katanya menerusi kiriman mesej melalui aplikasi 'WhatsApp' kepada mStar Online di sini pada Selasa.

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 60, menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang selepas memperkenalkan hashtag #Herman4Kajang di Twitter miliknya untuk melihat reaksi orang ramai mengenai hasratnya itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Yale Yale dan Pelita Dalam Kabus itu adalah antara lima calon yang setakat ini telah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan.

Herman sebelum ini pernah mencuba nasibnya bertanding atas tiket Bebas menerusi kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) dan tewas di tangan calon Barisan Nasional iaitu Datuk Seri Noh Omar.

Penyanyi itu memperoleh deposit RM10,000 untuk bertanding kerusi tersebut selepas dua rakannya menggadai dua buah kereta.

Sementara itu, Noraini menambah, dia lebih senang jika Herman kekal dengan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan tidak kisah sekiranya pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan sahaja. 

"Saya tidak suka tertekan dengan situasi sebegini dan berharap tidak perlu untuk berselisih faham dengan perkara yang saya tidak suka.

"Tolonglah Encik Herman, jangan susahkan orang Kajang dan kawan-kawan," tuturnya.

~ mStar