Showing posts with label Syiah. Show all posts
Showing posts with label Syiah. Show all posts

Monday, 3 March 2014

Gara-gara keceluparan Zahid menghentam Syiah, BN minta bantuan PAS?


Kempen anti Syiah secara agresif kerajaan Malaysia sejak hujung tahun lalu menjejaskan ekonomi negara sehingga kerajaan kerugian jutaan ringgit selepas Iran yang mempunyai majoriti penganut mazhab tersebut bertindak balas, menyebabkan seorang menteri menghubungi pemimpin PAS, minta bantuan bagi memulihkan hubungan, kata satu sumber.

Pengerusi Biro Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi mengesahkan perkara itu tetapi enggan menamakan menteri yang menghubunginya.

"Memang benar ada menteri hubungi saya untuk meminta bantuan itu," kata Syed Azman kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Adun Batu Burok berkata, Malaysia mengalami kerugian besar apabila Iran bertindak balas terhadap kempen anti Syiah di Malaysia yang diterajui oleh Umno sebelum ini.

"Petronas mengalami kerugian paling banyak apabila usaha cari galinya di Iran menerima halangan daripada kerajaan Iran sedangkan pada waktu sama syarikat Amerika Syarikat (AS) termasuk Esso dan Conoco sudah mula masuk ke negara itu," katanya.

AS dan negara-negara Eropah mula menjalinkan semula hubungan dengan Iran selepas Hassan Rouhani yang lebih liberal mengambil alih kepimpinan daripada Mahmoud Ahmadinejad.

Sebagai pengerusi Biro Antarabangsa PAS, Syed Azman mempunyai hubungan rapat dengan majoriti pemimpin gerakan Islam di dunia termasuk dari Iran.

Selain beliau, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Mohamad Sabu juga mempunyai hubungan dengan pemimpin Iran dalam arena politik antarabangsa.

Selain Petronas, turut rugi adalah industri minyak sawit apabila Iran mencari alternatif lain selain Malaysia.

Pada Januari hingga November 2013 sahaja, Iran mengimport 671,384 tan minyak sawit dari Malaysia. Ia menjadikan negara itu antara pengimport utama minyak sawit Malaysia.

Susulan kempen anti Syiah Umno yang dimulakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya semasa perhimpunan parti itu tahun lalu dan disambut beberapa pihak lain, Iran mula menyekat dan mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia.

Perhimpunan Agung Umno 2013 juga meluluskan usul menjadikan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai tafsiran kepada Islam Malaysia dan fahaman Syiah disifatkan sebagai ajaran sesat dan terkeluar daripada Islam. 

Penghujung tahun lalu, Ahli Parlimen dari Baghdad, Iraq, Syeikh Jalaluddin Asy-Shoghir, dalam satu ucapannya berkata, kerajaan Malaysia merupakan kerajaan pertama di dunia yang secara rasmi mengkafirkan Syiah.

Katanya, tindakan ini dilaksanakan dengan cara yang amat buruk, namun Kementerian Luar Iraq tidak mengambil tindakan balas berkaitan isu tersebut.

“Kerajaan Malaysia sanggup mengkafirkan majoriti rakyat Iraq biarpun Kedutaan Malaysia tidak diarahkan untuk tampil diberi teguran secara lembut.

"Syarikat Malaysia sedang bergembira dengan meraih pelbagai projek di Iraq dan banyak peluang perniagaan dianugerahkan secara istimewa kepada kerajaan Malaysia.

“Saya tidak tahu bagaimana kerajaan Malaysia boleh sampai ke tahap diplomasi yang hancur seperti ini dan melakukan pelanggaran akidah. Di mana Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC)? Sama ada ini sebuah sikap yang ekstrem atau tidak, tindakan pengkafiran bakal menjurus kepada pembunuhan,” katanya dalam rakaman video di Youtube yang tersebar luas.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata Malaysia harus mencontohi negara Islam di Timur Tengah dalam menguruskan perbezaan mazhab, iaitu penganut mazhab Sunni tidak pernah mendakwa kumpulan Syiah di negara mereka terkeluar daripada Islam.

Mohamad berpendapat, jika Malaysia tidak berhati-hati dalam perkara ini, imej negara akan terjejas dan pendukung hak asasi manusia akan menuduh Malaysia tidak mengamalkan toleransi sesama umat Islam.
Pada 2004, Malaysia di bawah pimpinan Tun Abdullah Badawi menandatangani perjanjian Amman Message di Jordan.

Amman Message merupakan inisiatif daripada pemerintah Jordan pada ketika itu yang memperkenalkan satu deklarasi bagi menjelaskan kepelbagaian mazhab dalam Islam seperti Sunni, Syiah, Ibadi dan Thairi.

"Sesiapa pun yang mengamalkan satu daripada empat mazhab Sunni seperti (Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali), dua daripada mazhab Syiah (Jaafari dan Zaydi) serta mazhab Ibadi dan Thahiri adalah Muslim. Menggelar mereka orang yang kafir dan sesat adalah sangat mustahil," kata perjanjian tersebut.

~ The Malaysian Insider

Thursday, 4 July 2013

Pas pecat ahli terlibat kegiatan Syiah

ALOR SETAR - Pas akan mengenakan hukuman tegas ke atas ahlinya termasuk memecat keahlian jika terbukti mereka terlibat dengan kegiatan Syiah.

Tindakan itu adalah untuk mencegah kegiatan yang dikatakan makin menular dalam kalangan pemimpin dan penyokong parti itu walaupun sehingga kini masih belum dapat dibuktikan.

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas (Syura), Zaharuddin Mohammad berkata, antara syarat menjadi ahli Pas ialah mesti berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
“Jika ada bukti seorang itu adalah pengikut Syiah, kita pecat serta merta tidak kira apa jawatannya sekali pun dalam parti,” katanya ketika menjawab pertanyaan peserta Forum Post Mortem PRU13 Menuju PRU14 diadakan di Komplek Pas Kedah di sini, kelmarin.

Sebelum ini, seorang pemimpin kanan Pas didakwa terbabit dengan ajaran Syiah, yang turut menjadi faktor kekalahan PR di Kedah.

Menurut sumber dalaman, Syura sudah memanggil pemimpin berkenaan untuk membuat pengakuan sama ada terlibat atau sebaliknya dengan Syiah.

Beliau berkata, beberapa hari lalu pemimpin itu sudah menandatangani surat pengakuan bahawa tidak terbabit dengan sebarang aktiviti Syiah seperti yang diuar-uarkan.

Kerajaan negeri sebelum ini memohon kerjasama golongan ulama dan masyarakat setempat dalam menangani isu penyebaran ajaran Syiah yang berlaku di negeri ini.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, Mohd Rawi Abd Hamid berkata, semua pihak perlu memainkan peranan kerana ia merupakan ancaman terbesar akidah yang harus dikekang.

Menurutnya, golongan ulama lebih arif untuk mengenal pasti individu terlibat dan maklumat itu boleh dijadikan panduan agar orang ramai lebih berhati-hati manakala pusat pengajian agama diminta menyalurkan maklumat mengenai penyebaran ajaran itu jika dikesan di kawasan mereka


✿*~ Kalau suka entry ni, sila tekan LIKE ye...Sharing is caring ^_^ ~*✿