Showing posts with label rupanya... Show all posts
Showing posts with label rupanya... Show all posts

Sunday, 23 February 2014

'Tiga lelaki cuba edar Bible kepada pelajar'.. Cerita rekaan Cikgu Pro UMNO rupanya..


Pada 15 Januari lalu, Sinar Harian telah melaporkan.. seorang guru menangkap tiga lelaki yang cuba mengedar beberapa Bible berbahasa Melayu kepada pelajar di sebuah sekolah di Georgetown.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin, Nor Amin Ahmad berkata, kejadian berkenaan berlaku di sekolah berkenaan yang jaraknya tidak jauh dari sekolah itu.

Pihaknya kesal kerana Bible dalam bahasa Melayu itu juga tertulis perkataan ALLAH yang dibimbangi boleh mengelirukan pelajar sekolah.

“Tajuk kitab itu ialah Kenalilah Al Kitab dan di bahagian bawahnya mereka cuba menarik pembaca dengan menulis ‘Sebuah panorama Firman ALLAH dalam 366 bacaan dan renungan harian'.

“Kenapa kitab sedemikian cuba diedarkan kepada pelajar? Lebih mengelirukan kerana ia dalam bahasa Melayu. Jadi memang (jelas) matlamatnya untuk memesongkan akidah pelajar Melayu Islam,” katanya..

Nor Amin menggesa pihak sekolah memantau lebih ketat, khasnya pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan sekolah...

Dan seperti biasa, oleh kerana laporan itu membabitkan negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dan diterajui oleh DAP, ianya dijadikan modal untuk menyerang Kerajaan Negeri Pulau Pinang oleh Blog-blog Pro UMNO.

Mereka sekali lagi cuba untuk menyemai perasaan benci orang Melayu yang beragama Islam terhadap Kerajaan Negeri dengan mengaitkan isu tersebut dengan MAIPP.

Kononnya MAIPP gagal menangani perkara tersebut kerana diperkudakan DAP..

Bagi mereka samaada laporan itu benar atau tidak bukannya isu yang penting tembak dulu kemudian baru tanya.. macam Zahid Hamidi kata dulu tu..

YB Malek Kassim dan PERKASA
Menurut EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato Abdul Malek Kassim laporan akhbar Sinar Harian smengenai perkara tersebut bukan sahaja mengelirukan malah menimbulkan persoalan kerana difahamkan tiada laporan polis dibuat oleh pihak terbabit.

Ini sejajar dengan kenyataan Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, yang mengatakan pihak polis tidak menerima penyerahan tangkapan suspek oleh mana-mana pihak.

Malah pihak yang berkenaan enggan memberikan kerjasama dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) yang turun padang menyiasat insiden itu.

Berikut adalah kenyataan media Dato Abdul Malek Kassim..

LAPORAN SINAR HARIAN BAHAWA PENGERUSI PIBG SEKOLAH MENENGAH HAJI ZAINAL ABIDIN MENDAKWA 3 LELAKI MENGEDARKAN BIBLE BAHASA MELAYU ADALAH PALSU SAMA SEKALI 
Golongan pelampau sama ada pelampau kaum, lebih-lebih lagi pelampau agama tidak ada tempat dalam mana-mana masyarakat. Ia perlu dibanteras sebelum benihnya tumbuh dan menjalar seluruh negara. Kini, golongan pelampau dan perosak dilihat cuba menganggu gugat keharmonian rakyat dengan provokasi fitnah berbaur perkauman dan agama. 
Sebelum PRU-13, Pulau Pinang dijadikan sasaran pendemo pro Umno/BN yang hampir saban minggu cuba menyalakan api perkauman dan agama. Namun, ia ditolak melalui undi popular rakyat sebanyak 68% yang memberi mandat kepada kerajaan PR. 
Kini strategi itu seolah-olah diubah dengan pendekatan yang berbeza namun matlamatnya yang sama. Kita yakin golongan perosak dan pelampau itu akan meneruskan agenda mereka lebih-lebih lagi ia seolah-olah direstui pihak tertentu. 
Rentetan provokasi melampau dalam tempoh beberapa bulan melalui provokasi kain rentang, serangan bom api di gereja, di balai polis, kononnya pengedaran bible Melayu, kononnya ancaman ke atas masjid dan terkini penodaan masjid Cherok Tok Kun dengan daging dipercayai khinzir, adalah serangan provokasi 'bentuk baru,' semuanya bermotif jahat.

Edaran Bible Melayu ? 
Kita juga masih ingat awal tahun lalu, heboh kononnya bible berbahasa Melayu diedarkan kepada pelajar sekolah di negeri ini. Namun, siasatan pihak polis kemudiannya mendapati ia tidak berasas. Kini skrip yang hampir sama diulang lagi. 
Laporan akhbar Sinar Harian seorang guru menangkap tiga lelaki mengedarkan Bible berbahasa Melayu kepada anak-anak Melayu di Pulau Pinang, bukan sahaja mengelirukan malah menimbulkan persoalan kerana difahamkan tiada laporan polis dibuat oleh pihak terbabit. 
Sepertimana kenyataan Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, pihak polis juga tidak menerima penyerahan tangkapan suspek oleh mana-mana pihak. 
Malah pihak yang berkenaan enggan memberikan kerjasama dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) yang turun padang menyiasat insiden itu. Ini menimbulkan keraguan tentang kesahihah insiden itu sepertimana dilapor akhbar berkenaan 16 Februari lalu. 
Tambahan lagi Nor Amin Ahmad, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin yang bertanggungjawab atas kenyataan media itu difahamkan mempunyai kecendorongan fahaman politik yang berbeza dengan kerajaan negeri. 
Siasatan pihak saya pula mendapati wartawan berkenaan mula menghidu kisah itu melalui laman muka buku Nor Amin, lalu menghubungi beliau. 
Nor Amin mengakui kepada wartawan berkenaan beliau hanya mendengar kisah itu daripada seorang ‘guru misteri,’ yang kini sedang dijejaki pihak polis.

Tinjauan pihak saya mendapati Nor Amin telah memadamkan kisah itu dari laman muka bukunya. 
Saya menyeru pihak berkenaan bekerjasama dengan tampil mengemukakan bukti dan laporan, agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci.

Fitnah Haramkan Khutbah Jumaat 
Kini tersebar pula dalam 'blog picisan' dan media sosial bahawa kerajaan PR Pulau Pinang sedang merancang untuk mengharamkan khutbah Jumaat. Ia fitnah yang begitu meloyakan kerana khutbah Jumaat adalah sebahagian rukun sah solat Jumaat. Mengharamkan khutbah Jumaat seumpama mengharamkan solat Jumaat dan menutup masjid. Hanya mereka tidak waras akan mengeluarkan tohmahan sebegitu. 
Sebelum PRU lalu, pihak pelampau menghebohkan kononnya Pulau Pinang mengharamkan laungan azan. Fitnah itu termakan oleh sebahagian rakyat luar Pulau Pinang. Semua fitnah yang menjengkelkan itu langsung tidak berasas dan bermotif jahat. 
Kerajaan negeri sentiasa yakin bahawa saling menghormati, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat yang pelbagai adalah asas untuk membina sebuah 'Pulau Pinang Baru.' Ia boleh dicapai apabila kita meraikan keunikan dan perbezaan sesama kita, bukannya melalui provokasi oleh pelampau kaum dan agama. 
Rakyat perlu tolak provokasi melampau oleh golongan pelampau.

Kenyataan media ini telah dikirimkan oleh Cikgu Zul Mohammed..

Terima kasih Cikguuu... tempoh gencatan senjata kita dah nak berakhir ni.. sikit hari lagi berperang pulaklah kita yaaa... he..he..


Saturday, 3 August 2013

Isu Syiah: Taktik UMNO untuk alih perhatian rakyat saja rupanya..


Dalam masa tidak sampai tiga bulan kenyataan Tun Mahathir mengenai Syiah jelas sekali berbeza, sebelum ini katanya menyatakan bahawa permusuhan di antara Sunni dan Syiah ialah mainan politik musuh Islam tetapi baru-baru ini pula katanya pengembangan ajaran Syiah di negara ini akan memecahbelahkan lagi umat Islam .. Kenapa agaknya?

Ini apa yang Tun Mahathir ucapkan pada 22 Mei 2013 dalam sidang akhbar Pelancaran Rayuan Bersama kepada Muslim Sunni dan Syiah oleh Dr. Mahathir dan Khatami di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya..

Dr. Mahathir ketika ditemui pemberita berkata, semua pihak harus menerima dan bertindak matang dalam mengemukakan perbezaan pendapat masing-masing.
Katanya, jika umat Islam boleh bersikap toleransi terhadap penganut agama lain seharusnya mereka juga boleh bersikap sedemikian terhadap saudara seagama.

"Apa yang penting, kita terima perbezaan pendapat itu dan berhenti membunuh satu sama lain kerana kita sembah Tuhan yang sama, mengikut nabi yang sama dan berpandu kepada kitab yang sama.

"Jika kita saling bunuh membunuh, musuh Islam akan bertepuk tangan kerana gembira kita melakukan kerja itu bagi mereka, jadi sudah tiba masanya kita semua berhenti melakukan keganasan sesama Islam," katanya ~ Utusan

Dan pada 24 Julai pula.. ini laporan mengenainya..

Pengembangan ajaran Syiah di negara ini akan memecahbelahkan lagi umat Islam yang pada ketika ini sudahpun lemah kerana perbezaan fahaman politik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, ajaran berkenaan perlu disekat agar tidak menular dalam masyarakat Islam kerana amat berbahaya sehingga boleh mencetuskan permusuhan seperti mana berlaku di beberapa negara luar.

“Kita tidak menyoal agama mereka tetapi yang kita tahu apabila ada fahaman Sunni dan Syiah, maka selalu berlaku permusuhan sehingga berperang dan membunuh, ini boleh dilihat berlaku di beberapa buah negara seperti Pakistan serta Iran.

“Sebaliknya, di sini kita bernasib baik kerana kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, orang Sunni dan pengikut Imam Shafie,” katanya kepada pemberita ketika membeli-belah di Pekan Rabu Alor Setar.~ Utusan

Sebab kenyataannya berbeza ialah cuma untuk mengalihkan perhatian rakyat dari masaalah sebenar kata  Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub...

"Tindakan menggembar-gemburkan isu Syiah semakin kelihatan seperti tindakan terancang untuk mengalihkan perhatian orang-orang Melayu dari isu-isu yang lebih menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah yang semakin menakutkan dan kenaikan harga barangan.

"Tetapi tindakan itu pasti tidak akan berjaya kerana rakyat sudah semakin tahu dengan taktik mengalihkan perhatian itu," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Salahuddin juga melihat apa yang dilakukan itu sebagai lanjutan untuk "mengepung penyokong dan sokongan".

"Boleh dikatakan orang-orang Melayu adalah satu-satu pasaran yang masih terbuka untuk kepentingan politik Umno.

"Umno tahu ia tidak akan dapat menipu semua orang. Tetapi apa yang terus dilakukan oleh parti itu adalah semata-mata untuk mengepung penyokong dan sokongan sedia ada dari terlepas kepada pihak lain.

"Penyokong dan sokongan yang sedia ada perlu dilalaikan dengan perkara-perkara yang sensasi supaya mereka tidak sensitif langsung dengan isu-isu lain yang lebih menekan kehidupan rakyat," katanya.

Malah, katanya lagi, sering kali berlaku apa yang disensasikan untuk mengepung penyokong dan sokongan itu bukannya berasaskan kebenaran tetapi sengaja untuk menimbulkan keraguan.

"Sudah terlalu kerap kita melihat isu-isu yang disensasikan itu hanyalah semta-mata bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan akhirnya terbuktikan tidak benar sama sekali," kata beliau ~ Harakahdaily

Malaysia merupakan salah satu pihak yang telah menandatangani Deklarasi Islamabad 2007 yang menjelaskan sebarang tindakan mengganggu penganut taifah Syiah adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang serius.

Deklarasi yang ditandatangani oleh Menteri Luar ketika itu, Datuk Syed Hamid Albar menegaskan taifah Syiah ialah taifah yang sah di dalam Islam.

Itu adalah kata-kata Setiausaha Pergerakan As-Sajjad di ( SINI )

Thursday, 25 July 2013

Ooo.. Patutlah PAS kalah di Kuala Besut.. Ini sebabnya rupanya..


Benar Che Long popular di kalangan masyarakat setempat iaitu 71.6 peratus lebih dikenali berbanding calon BN 14.2 peratus (tidak kenal kedua-duanya, 14.2 peratus) berdasarkan kajian Ilham Centre, tetapi popular tidak semestinya disukai.

Ini kerana, mengikut kajian Ilham Centre, sebuah badan pengkaji pilihan raya, 77.2 peratus dari pengundinya memilih faktor parti calon berbanding hanya 12.8 peratus faktor keperibadian calon.

Kajian juga menunjukkan 82.7 peratus pengundi Kuala Besut yakin dengan kelebihan BN yang mempunyai sumber kewangan yang besar.

Sebagaimana didedahkan oleh PAS, BN yang membelanjakan hampir setengah bilion ringgit atau RM19,000 bagi setiap pengundi untuk pilihan raya ini berjaya memenanginya.

Faktor terbesar adalah kedudukan Kuala Besut yang terpencil dari arus perdana politik tanah air yang mahukan perubahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui penduduk Kuala Besut perlu memperkasa penggunaan IT mereka untuk membolehkan mereka terdedah kepada maklumat semasa tanpa dikawal BN. 

Dalam PRU13, pengundi bandar yang terdedah kepada penggunaan internet dan media sosial menolak BN dan mengundi Pakatan Rakyat (PR) hampir di semua bandar utama di Malaysia kecuali Kangar melalui wakil mereka sama ada PAS, PKR atau DAP.

Di samping itu, kenangan lama perpecahan penduduk kawasan itu antara PAS dan Umno mengongkong mereka dari mendekati PAS walaupun PAS sudah berubah.

Isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman masih menjadi stigma yang tidak boleh mendekatkan penyokong Umno yang meninggalkan PAS sebelum ini.

Usaha PAS untuk menampilkan seorang ahli perniagaan dan bercakap tentang ekonomi berbanding dengan tradisi meletakkan calon 'ustaz' dan bercakap mengenai agama semata-mata, belum berjaya memecahkan tembok minda.

Isu-isu yang dimainkan PAS dalam menyerang Umno juga nampaknya berjaya dipatahkan dengan baik oleh BN dengan menggunakan kuasa wang mereka.

Misalnya, apabila PAS memainkan isu empangan yang rosak di bawah tangan calon BN, rakyat bertanya balik, siapa yang boleh memberi penyelesaian kepada masalah mereka, PAS atau Umno?

PAS berjaya mendedahkan isu tetapi BN melalui pengarah pilihan rayanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang datang dengan penyelesaian iaitu pengumuman peruntukan RM35 juta untuk membaiki balik empangan itu. 

Begitu juga kemiskinan. PAS memang berjaya mendedahkan betapa miskinnya penduduk Kuala Besut tetapi siapa yang boleh menyelesaikannya, PAS atau BN?

Pengumuman PAS bahawa mereka tidak mahu jawatan menteri besar bahkan Datuk Seri Ahmad Said akan terus jadi memegang jawatan itu walaupun menang dalam PRK ini lebih memburukkan keadaan.

Ia menghantar signal salah kepada pengundi. Kalau PAS menangpun, parti itu bukan boleh menyelesaikan kemiskinan mereka, BN juga yang mampu, melalui Ahmad Said di Terengganu dan kerajaan Pusat yang dikuasai BN.

Jika begitu, buat apa undi PAS? Baik kekal bersama BN, duit dapat, penyelesaian kepada masalah jelas kelihatan dan masa depan lebih cerah.

~ The Malaysian Insider

Thursday, 4 July 2013

Patutlah Ibrahim Ali marah sangat.. dia pun cium tangan Rosmah jugak, tapi tak dapat apa rupanya..


Dalam kemunculan sulungnya selepas kalah dalam PRU13 yang lalu, Presiden PERKASA telah melahirkan rasa kecewa, marah dan geramnya terhadap Presiden UMNO yang telah dibodeknya habis-habisan sebelum PRU13 yang lalu..

Segalanya itu telah diluahkan dalam pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur semalam setelah hampir dua bulan menyepikan diri, dipercayai kerana memujuk hatinya yang lara.

Malah kerana terlalu geram beliau telah mengugut Najib dengan berkata "Jangan salahkan kami dengan apa yang akan kami lakukan selepas ini... kami sudah cukup bersabar dan kesabaran itu sudah sampai ke kemuncaknya.

Sebelum itu beliau melahirkan rasa dengkinya terhadap HINDRAF dan juga Dong Zong dengan berkata "Kerajaan jumpa Dong Zong, Hindraf dan paderi sebelum pilihan raya, tapi ada tak dengar Perkasa dapat layanan sama? Ada tak pemimpin Umno yang hadir ke mesyuarat Perkasa atau rasmikan majlis anjuran Perkasa?"

Laporan penuh dan video sila lihat di SINI

Kemuncak dari kekecewaannya itu Ibrahim Ali hari ini secara serius berkata beliau akan menimbangkan untuk menjadi pemandu teksi sepenuh masa untuk menyara kehidupannya.

“Saya akan bersama Perkasa sepenuhnya sebagai presiden akan tetapi saya juga perlu menyara kehidupan saya. Saya mungkin akan memohan permit teksi. Saya tidak kisah kerana saya suka dengan kehidupan yang ‘simple’ – sederhana,”

Lantaran dari itu khuatir dengan keselamatan penumpang dan pejalan kaki di jalanraya Aspan Alias menyatakan hasratnya untuk berjumpa bagi menasihati beliau supaya membatalkan sahaja niat beliau untuk menjadi pemandu teksi. Baca di SINI

Kekecewaan Ibrahim Ali jelas tergambar bilamana beliau menyatakan Perkasa telah sebulat suara untuk tidak masuk campur didalam pilihanraya kecil Kuala Besut di Terengganu.

“Kami tidak akan berkempen untuk sesiapa. Kami akan menjadi pihak yang berkecuali untuk kali ini”

Kenapa agaknya beliau begitu kecewa dengan Najib kali ini? Ironinya kekecewaannya itu diluahkan setelah beberapa hari setelah Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji..


Pemerhati politik, Shahbudin Husin di dalam blognya, http://shahbudindotcom.blogspot.com. telah mempersoalkan adakah kerana Azeez mencium tangan Rosmah maka dengan itu beliau telah dilantik memegang jawatan tersebut?

Jika benarlah dakwaan Shahbudin itu.. Ibrahim Ali memang patut marah kepada Najib sebabnya beliau juga telah mencium tangan Rosmah tapi apa pun tak dapat..

 
Kesian kat Pak Brahim.. dari cara dia cium tangan Rosmah dalam gambar di atas sekurang-kurangnya dia layak untuk dilantik sebagai Pengerusi Petronas.. tapi apa pun dia tak dapat... ha.. ha.. ha..

Saturday, 20 April 2013

Oooo.. patutlah bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh... ini sebabnya rupanya..


Laporan dari Bernama ini yang menyebut tentang sebab runtuhnya struktur lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA)adalah kerana kontraktornya kurang pengalaman.

Persoalannya di sini ialah mengapa kontraktor yang kurang berpengalaman itu telah dilantik oleh pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek baik pulih yang bernilai RM15Juta itu..

Adakah ketika dipilih pengalaman tidak diambil kira oleh pihak mereka atau kroni lebih diutamakan?

KUALA TERENGGANU: Kontraktor yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja membuka kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, didapati kurang pengalaman untuk melakukan kerja itu.

Pengerusi Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan (CIBPAC), Jamaluddin Noh, berkata perkara itu ditemui dalam siasatan awal CIBPAC yang menyiasat insiden bumbung SSMZA yang runtuh kali kedua pada 20 Februari lalu.

"Kita masih menjalankan siasatan yang mendalam berhubung kejadian itu dan kita akui terdapat sedikit kelemahan iaitu kontraktor yang terlibat dalam kerja berkenaan tidak mempunyai pengalaman," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau juga berkata kontraktor berkenaan berdepan tindakan tatatertib serta mungkin digantung lesennya jika siasatan lanjut mendapati ada unsur kecuaian kontraktor ketika melaksanakan kerja membaik pulih bumbung stadium berkenaan.

Jamaluddin berkata, tidak ramai kontraktor tempatan yang mampu melakukan kerja membuka semula kerangka bumbung stadium.

Dalam kejadian Rabu lalu, lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung SSMZA yang dalam proses baik pulih runtuh.

Kejadian berlaku 11.30 pagi ketika lapan pekerja sedang menjalankan kerja memotong kerangka bumbung lama itu.

Kerja baik pulih berkenaan dilaksanakan kontraktor terbabit sejak tiga tahun lalu dan dijadual siap pada 24 Februari lalu.

Bumbung stadium berharga RM292 juta itu runtuh pada 2009, kira-kira setahun selepas disiapkan dan kerja baik pulih dianggar menelan kos RM15 juta. - BERNAMA

Thursday, 21 February 2013

Patutlah jumlah pengundi baru meningkat mendadak... SPR daftar ikut suka depa rupanya..


14 Februari yang lepas, aku terpandang artikel yang disiarkan di muka hadapan The Star yang tajuknya 'Big jump in new voters'..

Aku rakam gambar muka hadapan The Star itu kemudian aku 'Tweet; kepada YB Fuziah.. aku tak harappun dia akan reply..

Tapi dia reply, jawapnya.. "Org tak memohon mendaftar pun, nama di daftarkan. Apa tak tinggi jumlah".

"Teruk punya kerja kali ni.." jawab aku..

Lepas tu dia minta aku tolong cari nama pengundi baru yang tak memohon menjadi pengundi tapi namanya didaftarkan sebagai pengundi oleh SPR..

Memandangkan betul-betul teruk punya kerja tu.. aku tak jawab dah sampai hari ini..

Hari ini aku dapat satu kenyataan media dari YB Fuziah tentang 'Big jump in new voters' ni.. beliau mendedahkan kenapa pengundi baru meningkat secara mendadak..

OPERASI PENIPUAN PENDAFTARAN PEMILIH BARU.

Akhbar utama melaporkan minggu lepas bahawa ada peningkatan mendadak melibatkan pengundi baru di seluruh negara.

SPR tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang luarbiasa dengan mengatakan sebelum ini bahawa walaupun ramai pengundi baru di daftarkan, masih ramai lagi yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Pada hari ini Parti Keadilan Rakyat ingin mendedahkan rahsia disebalik peningkatan pemilih baru yang begitu mendadak. Bahawa jumlah yang sebegitu tinggi dikalangan pengundi baru itu ada menunjukkan unsur-unsur kesalahan jenayah dari segi undang-undang negara seperti yang termaktub dibawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Akta 5.

Aduan yang pihak PKR terima setakat ini, cukup bukti untuk mengheret penolong-penolong pendaftar dan juga SPR ke mahkamah sekiranya didapati sah SPR bersekongkol dengan penolong pendaftar tersebut.

Kami dapati pemilih-pemilih telah didaftarkan tanpa pengetahuan mereka, yang membawa maksud, penolong pendaftar telah membawa kenyataan permohonan pendaftaran pemilih palsu. Ini jelas bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954. Sect 3(1) (a) di bawah Kesalahan oleh mana-mana orang, yang berbunyi seperti berikut

"Mana-mana orang yang

(a) dengan diketahuinya membuat apa-apa penyataan palsu dalam atau berkaitan dengan apa-apa permohonan supaya dimasukkan ke dalam mana-mana daftar pemilih.
..........................

Boleh disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjarakan dan di denda kedua-duanya...."

Aduan yang kami terima melibatkan pemilih yang didaftarkan tanpa pengetahuan mereka adalah dari pelbagai latarbelakang.

1) Pemilih merupakan pelajar diluar negara telah didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.

2) Pemilih cukup umur telah di daftarkan tanpa pengetahuan mereka.

3) Orang dewasa yang tidak pernah mendaftar telah didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.

4) Ahli Puteri Umno didaftarkan tanpa pengetahuan mereka.

Didalam kes-kes diatas, pihak yang mendaftar telah melakukan kesalahan jenayah mengikut Akta Kesalahn Pilihanraya Sect 3(1)(a) dan boleh dihukum sekiranya didapati bersalah. SPR juga harus perjelaskan bagaimana hal ini boleh berlaku.

Pihak PKR menggesa semua yang didalam kategori diatas dengan segera memeriksa status pemilih mereka dilaman web SPR atau melalui wakil2 kami.

Sekiranya didapati nama mereka di daftarkan tanpa pengetahuan mereka, sila ambil langkah-langkah berikut.

1) Pergi ke Pejabat SPR berdekatan dan buat cabutan borang permohonan mereka. Sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada SPR sila laporkan kepada kami.

2) Setelah mendapat borang cabutan. Sila buat laporan polis keatas pendaftar yang telah melakukan kesalahan tersebut.

3) Serah satu salinan borang cabutan dan laporan polis kepada kami. Pihak PKR akan lantik satu majlis peguam untuk meilhat kepada kes ini.

Saya pohon semua warga Malaysia yang mahukan pilihanraya yang adil dan bebas supaya sebar luas perkara ini dan sama-sama kita bantu banteras penipuan ini.

Saya juga menyeru semua NGO dan semua badan pemerhati pilihanraya untuk terlibat sama didalam kempen mengheret pesalah-pesalah ini ke muka pengadilan.

Saya juga ingin tegaskan supaya SPR beri segala kerjasama untuk buatkan cabutan borang pendaftaran pemilih sekiranya di minta oleh pihak diri pemilih. Keengganan oleh pihak SPR untuk memberi kerjasama akan mengundang rakyat menaruh syak kepada SPR bahawa mereka dikawal oleh BN.

Orang ramai boleh menghantar aduan kepada aduanspr.pkr@gmail.com

Sama-sama kita benteras jenayah penipuan pilihanraya ini.

Fuziah Salleh. 
------------------ 
Fuziah Salleh 
MP Kuantan, Malaysia. 
PKR National Vice President


Twitter @fuziah99 

www.fuziahsalleh.my

Patutlah UMNO bagi kicap Tamin.. ada sebab rupanya..


Semalam telah beredar gambar botol-botol kicap keluaran Tamin yang dilekatkan stiker 'Undilah Barisan Nasional' di atas dalam banyak Blog-blog dan juga FaceBook..

Dan ianya dikatakan sebagai antara sumbangan yang akan diberikan oleh UMNO/BN kepada orang ramai khususnya di pendalaman.

Timbul persoalan disini adakah produk ini perlu diboikot?

Tetapi sebelum mengambil keputusan samada hendak memboikotnya atau tidak, kita perlu tahu adakah UMNO/BN telah membeli produk ini untuk diberikan kepada orang ramai atau pemilik produk ini yang telah memberikannya kepada UMNO/BN untuk diberikan kepada orang ramai..

Sedikit info tentang Syarikat Tamin..


Kicap TAMIN bermula pada tahun 1951 apabila Tuan Haji Mohd. Tamin berjaya menemui ramuan untuk menghasilkannya. Ia bermula sebagai produksi kecil-kecilan di Batu Gajah, Perak.

Tuan Haji Mohd. Tamin memulakan perniagaan beliau dengan hanya bermodalkan RM10 tetapi semangat dan azam yang tinggi berjaya menghasilkan kira-kira 700 botol kicap sehari dengan bantuan ahli-ahli keluarga beliau.

Demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Tuan Haji Mohd. Tamin mengambil langkah meningkatkan pengeluaran 3,500 botol sehari. Peningkatan kehendak dan kepopularan Kicap TAMIN telah mendorong Tuan Haji Mohd. Tamin untuk mengembangkan perniagaan beliau dengan mendirikan sebuah kilang di Enggor, tidak jauh dari Bandar Diraja negeri Perak - Kuala Kangsar.

Sejarah sepenuhnya sila baca di ( SINI )

Menurut Marhaen...

Sebuah syarikat pembuat kicap dan sos, Syarikat Tamin yang beroperasi di Enggor Perak selama ini diketahui menjadi panaja kepada Roadshow Umi Hafilda.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan muncul pada bila-bila masa, syarikat ini turut memperomosikan BN dengan menampal pelekat 'Pangkah BN' pada setiap botol keluaran syarikat ini.

Pemilik Syarikat Kicap Tamin, Puan Sharifah bt. Mohd Tamin  adalah merupakan Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Siput dan juga AJK Wanita Umno Perak.


Jadi tidak hairanlah jika syarikat yang menaja Roadshow Umi Hafilda ini akan juga berkempen untuk Barisan Nasional melalui penjualan produk yang berasas kicap dan sos.

Anggapan umum mengatakan bahawa pihak Umno/BN menaja produk keluaran Syarikat Tamin adalah merupakan satu kesilapan kerana yang sebenarnya, syarikat inilah yang menyumbangkan dana untuk kempen-kempen Umno / BN termasuklah Roadshow Ummi Hafilda yang boleh dianggap sebagai Duta Kicap Tamin!

Kepada para penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat serta ahli-ahli Umno yang menentang Umno, khususnya di Perak dan bahagian Utara.. fikir-fikirkan...

Ni boleh dianggap sebagai 'U help me.. I help U...".. takkan sponsor free saja kot??.. mesti ada return punya tu...


Laporan oleh Marhaen sila baca di ( SINI )