Showing posts with label penjelasan. Show all posts
Showing posts with label penjelasan. Show all posts

Friday, 7 March 2014

Bila dah tak suka tu.. Penjelasan pun depa kata pertelingkahan..


Seseorang yang merupakan pemimpin kanan PKR Permatang Pauh telah menghubungi aku meminta aku memantau laman Facebook seorang YB dan ambil tindakan yang sepatutnya..

Menurut beliau aduan yang diterimanya mengatakan telah berlaku pertelingkahan  antara YB tersebut dengan seseorang yang juga merupakan Ahli PKR Permatang Pauh dalam laman Facebook.

Perkara ini tidak sewajarnya berlaku apatah lagi bilamana yang bertelingkah itu adalah ahli PKR sesama sendiri.

Oleh kerana yang mengeluarkan arahan itu berada atas dari aku dalam hiraki PKR Cabang Permatang Pauh, maka aku dengan malasnya menjenguk ke laman Facebook YB Hajjah Dr. Norlela Ariffin , ADUN Penanti..

Lama juga aku mencari namun tak pula aku jumpa apa yang dimaksudkkan oleh pemimpin kanan yang mengeluarkan arahan itu..

Untuk kepastian aku menghubungi semula pemimpin yang mengeluarkan arahan itu dan dari apa yang dinyatakannya berikut adalah apa yang YB Norlela tulis dalam status Facebook miliknya.

Beliau memberikan penjelasan tentang kekeliruan beberapa pihak yang telah menganggap Pusat Khidmat di Guar Perahu adalah miliknya, sedangkan itu adalah milik Ahli Parlimen Permatang Pauh, DS Anwar Ibrahim..

Ini apa yang ditulisnya itu...

NOTIS PEMBERITAHUAN kpd warga Penanti: 
1. Pusat khidmat Adun Penanti saya di 2075 tingkat bawah, Jln Tanah Liat, 14000 BM .. *bukan* di pusat khidmat di trafik light simpang Guar Perahu. 
Saya ada 4 pegawai seranta yg merupakan graduan yg professional insyaallah:

Norly
Tira
Syazwani
Khairul nadzmi
Tel: 045383871 / 045382871
Hotline 0102322871
norlela.ariffin@gmail.com
adunpenanti@gmail.com
FB Norlela Ariffin / Adun Penanti .  
2. Borang ibu emas di edarkan kpd setiap JKKK sebab Pejabat Masyarakat Penyayang wajibkan JKKK utk cop sahkan yg pemohon adalah Surirumah yg tak ada pendapatan tetap.  
3. Pusat khidmat saya *tidak* pernah kenakan syarat yg pemohon kena isi borang keahlian parti politik jika nak mohon apa2 skim bantuan dan hadiah dari kjaan negeri

Mana ada dia menyerang sesiapa dalam notisnya itu?.. Kenapa pula ada pihak yang nak marah?..

Mungkin ada yang dah terasa bila membaca tulisnya apa awal kenyataannya yang dah dipadam tu yang menjelaskan sebab notis ini dikeluarkannya..

Tak sempat nak print screen tadi, antara tulisnya menjelaskan kenapa notis ini dikeluarkan ialah kerana ada individu yang telah menyerahkan kepadanya bukti rakaman video/audio yang menunjukkan betapa sombongnya petugas atau kerani di Pusat Khidmat yang disangka miliknya itu..

Cuba baca komen-komen ini.. tak adalah pulak YB Norlela menghentam sesiapapun..



Bagi aku berdasarkan komen-komen di atas ini adalah satu perkembangan yang menarik.. menariklah sebab dulu masa diperkenalkan ramai juga yang mejuihkan bibir...

Mungkin pihak yang mengadu kepada pemimpin kanan PKR Permatang Pauh tu dah terasa dengan komen yang ini kot..


Ha..ha.. ha.. komen tu jelas kena atas batang hidung seseorang...

Itulah... bila dah tak suka  tu.. orang berikan penjelasan pun depa kata pertelingkahan...

Semoga apa yang sampai ketelinga Anwar Ibrahim bukannya fitnah lagi tentang YB ini...

Monday, 24 February 2014

KeAdilan minta penjelasan Suara KeAdilan kerana siar artikel Hishamuddin Rais?


PKR yang seringkali memperjuangkan kebebasan media dikatakan mengeluarkan arahan meminta akhbar rasmi mereka, Suara Keadilan untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel kolumnis, Hishamuddin Rais bertajuk "Khalid dan Azmin" kerana dikatakan memfitnah timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

Menurut satu sumber, arahan itu dikeluarkan minggu lalu secara lisan kepada pengarang Suara Keadilan, tanpa menyatakan tarikh berbuat demikian.

"Seseorang daripada pemimpin PKR tidak berapa senang dengan tulisan artikel tersebut kerana dikatakan mengkritik kepimpinan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali secara keterlaluan, tambahan pula ia disiarkan di akhbar rasmi parti sendiri. Kerana itu mereka meminta penjelasan bagaimana artikel itu dilepaskan untuk disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur semalam.

"Tidak ada penarikan, saya tidak dengar mengenai itu, Suara Keadilan hanya diminta beri penjelasan dan ia disampaikan melalui komunikasi tertentu, tiada surat atau apapun," katanya.

Artikel "Khalid dan Azmin" ditulis Hishamuddin dan disiarkan dalam ruangan kolumnis Suara Keadilan bilangan 160 pada 11 Februari lalu, dan turut disiarkan di portal berita Malaysiakini.

Artikel tersebut menganalisis dan menerangkan kemelut yang melanda antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam artikel itu, Hishamuddin menyifatkan Azmin masih mempunyai unsur dan ideologi Umno dan kurang disenangi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PAS dan DAP.

"Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR," tulis artikel tersebut.

"Jika ini hujahnya - sayugia diingatkan bahawa bukan Azmin Ali seorang sahaja yang memiliki DNA gerombolan Ketuanan Melayu. Ramai pemimpin tertinggi PKR memiliki DNA yang sama. Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution, Johari Andul, Rahim Ghause – adalah watak-watak yang dikenali umum yang memiliki DNA United Malaya National Organisation. Jangan kita lupa bahawa Khalid Ibrahim juga adalah DNA ‘budak ekonomi’ United Malays National Organisation. DNA inilah yang membolehkan si Khalid ini menjadi kaya raya malah berupaya untuk berhutang berjuta ringgit," tulis Hishamuddin dalam artikel tersebut.

Hishamuddin ketika diminta mengulas tulisan itu, menegaskan beliau mengeluarkan pandangan secara peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak.

"Memang saya bertanggungjawab 100% setiap tulisan saya, namun selepas ia disiarkan, sahih atau tidak itu terpulang kepada pembaca untuk menilai, sekiranya mereka merasakan sebegitu, maka ia diluar kemampuan saya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurut Hishamuddin, beliau mengamalkan kewartawanan Gonzo dalam penulisannya.

"Saya tidak kata siapa-siapa, siapa yang terberak dialah yang terbau kentot," katanya.

Kewartawanan Gonzo merujuk kepada gaya kewartawanan yang ditulis tanpa tuntutan objektiviti sebagaimana laporan di mana seseorang wartawan juga dimasukkan sama.

Perkataan "Gonzo" mula digunakan pada tahun 1970 untuk menggambarkan satu artikel yang ditulis oleh Hunter S Thompson. Kemudian ianya menjadi pop.

Istilah 'gonzo' telah ditakrifkan dalam kesusasteraan akademik sebagai cara dan bentuk penulisan yang bertenaga di mana penulis juga menjadi protagonis.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan parti itu ada mengeluarkan arahan penarikan atau meminta Suara Keadilan memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel tersebut, bagaimanapun mengakui isu tersebut ada dibincangkan.

"PKR tidak langsung mengeluarkan sebarang arahan meminta Suara Keadilan menarik kembali artikel atau memberi penjelasan, tambahan pula isu berkenaan kini masih lagi berada di tahap perbincangan," katanya.

Beliau juga menegaskan pihak parti memahami dan menyokong kebebasan media, kerana itu memutuskan Suara Keadilan bergerak bebas biarpun dikenali sebagai lidah rasmi parti.

"Isunya di sini apabila terdapat sesetengah pemimpin yang namanya dikaitkan dalam artikel tersebut menyuarakan hal itu, bagaimanapun parti masih tidak memutuskan apa-apa lagi, dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik malam ini," katanya.

Saturday, 27 July 2013

Penjelasan Tengku Zaihan, Sebab Beliau Tunjuk Kertas Undi..


Insiden menunjukkan kertas undi oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah satu tindak balas spontannya selepas diminta bertalu-talu oleh jurufoto.

Tengku Zaihan, 37, atau dikenali 'Abe Ku' (Abang Ku) oleh penduduk setempat berkata, beliau tidak berniat untuk menunjukkan kertas undi itu, tetap bertindak spontan disebabkan keadaannya yang agak letih berkempen selama 12 hari sejak 12 Julai lalu.

Bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Putrajaya itu antara pengundi yang awal mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut pada hari pengundian semalam.

"Maklumlah saya tidak cukup tidur berbelas hari, badan pun letih. Keadaan itu menyebabkan tindakan saya jadi spontan.

"Masa hendak lipat kertas undi itu masuk ke dalam kotak undi, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respon," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pembangkang kononnya beliau melanggar peraturan pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya kepada jurufoto pada hari mengundi semalam.

Pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut semalam, Tengku Zaihan mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi selepas Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan mendapat 5,696 undi ~ The Malaysian Insider

Oooo dia tak sengaja rupanya.. kira tunjuk kertas undi tanpa niatlah ni...

Thursday, 25 July 2013

Ini Penjelasan Dari Pengetua Dan Pengerusi PIBG Berkenaan Bilik Persalinan Diguna Sebagai Tempat Makan


Ketika memasuki perkarangan sekolah kira-kira pukul 6 petang Selasa, guru besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kelihatan tertekan kerana beberapa pegawai dari pelbagai jabatan kerajaan menyoal mereka berulang kali mengenai tindakan tersebut.

Mereka menunjukkan kepada kami bilik persalinan yang berada dalam keadaan bersih pada ketika itu.

Dua meja dengan alas berwarna ungu diletakkan dalam ruang kecil dekat dengan bilik mandi dan singki serta kerusi.

Kantin sekolah itu yang bertentangan dengan bilik persalinan baju dibuka semula untuk murid-murid pada Selasa atas arahan Menteri Pendidikan.

Terdapat tiga bilik mandi dan tiga singki di dalam bilik tersebut yang betul-betul bersebelahan dengan tandas perempuan dan tandas orang kurang upaya.

Menurut pegawai sekolah tersebut, terdapat kira-kira 28 pelajar bukan Islam di sekolah terbabit.

Guru besarnya, Mohd Nasir Mohd Noor berkata, semua murid telah menggunakan bilik persalinan itu sejak Mac kerana ruang di kantin sekolah tidak mencukupi.

"Kemasukan pelajar meningkat melebihi 500 murid pada tahun ini. Malah kami tidak mempunyai bilik kelas yang cukup. Kami mempunyai purata kira-kira 49 murid dalam setiap kelas sekarang.

"Saya hanya memutuskan untuk memindahkan mereka ke bilik tersebut kerana kebanyakan murid-murid duduk di atas rumput atau berhampiran longkang kerana ruang yang terhad," katanya.



Beliau berkata, kantin sekolah itu ditutup lebih seminggu yang lalu kerana kerja pengubahsuaian.

Mohd Nasir membawa kami ke kantin itu untuk menunjukkan pintu kaca yang baru dipasang di sudut penjuru kantin tersebut.

Kerja pengubahsuaian sudah berakhir minggu lalu, katanya.

"Kantin itu sepatutnya dibuka semula pada Isnin. Saya tidak tahu mengapa ia ditutup. Saya berada dalam mesyuarat pada hari tersebut," kata Mohd Nasir.

Pengerusi PIBG, Hussein Mohd Ariff berkata, ahli persatuan itu menyedari situasi itu apabila ia dibawa ke dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

"Sebagai ibu bapa, saya rasa ia bukan idea baik tetapi keputusan bukan terletak di tangan saya," katanya. 

Sementara itu, Mohd Nasir menegaskan beliau tidak pernah mengamalkan diskriminasi terhadap para pelajar.

"Seperti yang anda boleh lihat, bilik mandi amat bersih. Hanya satu sebab saya memilih tempat itu kerana ia bilik paling dekat dengan kantin.

"Saya tidak bermaksud untuk mengapa-apakan murid-murid," katanya ~ mStar


Itu penjelasan mereka..

Sebenarnya aku kurang bersetuju dengan tindakan beberap sahabat yang mendedahkan laman FaceBook milik peribadi Pengetua Sekolah ini..

Sepatutnya apapun yang berlaku kita sewajarnya menunggu penjelasan dari beliau sendiri.. kerana beliau hanya menjalankan tugasnya..

Dan aku yakin Pengetua Sekolah ini sedaya upaya memberikan yang terbaik buat para pelajarnya..

Thursday, 21 February 2013

Penjelasan dari Nik Zawawi berkenaan gambarnya dengan Soi Lek dan Simbol 1Malaysia..


Sebenarnya, gambar tersebut adalah gambar yang diambil ketika kesemua mereka menyertai Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP) kali ke-7 di Baku, Azerbaijan pada 22 hingga 23 November 2012 yang lalu.

ICAPP adalah satu persidangan yang menjemput semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang untuk turut serta dalam persidangan tersebut.

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat adalah Armenia, Bangladesh, Cambodia, China, India, Indonesia, Iran, Iraq, Japan, Kazakhstan, Republic of Korea, Kyrgyzstan, Laos, Lebanon, Malaysia, Maldives, Mongolia, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Philippines, Russia, Sri Lanka, Syria, Tajikistan, Thailand, Turkey dan Vietnam.

Turut menjadi wakil PAS selain tiga pemimpin dalam gambar tersebut adalah adalah Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun beliau tidak ada dalam gambar tersebut, tetapi dilihat ada dalam gambar-gambar lain di persidangan tersebut. Chua Soi Lek pula hadir mewakili BN bersama Datuk Seri Shahidan Kassim.


Dalam persidangan itu, Datuk Mustafa Ali telah diberi penghormatan untuk berucap mewakili PAS. Mustafa ketika diminta menjelaskan gambar itu berkata, ianya perbualan biasa dan tiada apa yang perlu dipolemikkan.

"Kami deligasi dari Malaysia ditempatkan di hotel yang sama. Jadi ada kalanya bertembung dan berbual lah.

"Kalau tak silap saya, gambar itu diambil oleh pembantu Chua Soi Lek sebab kami semua ada dalam gambar itu," katanya sambil ketawa.

Sementara itu, satu lagi gambar yang turut hangat diperkatakan adalah gambar Nik Zawawi bersama Shahidan, Soi Lek dan beberapa orang lagi rakyat Malaysia.

Apa yang menjadi kontroversi adalah apabila kesemua mereka dalam gambar itu menunjukkan jari telunjuk yang menyerupai 'tarade mark' 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib seawal menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Gambar itu sekaligus diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membawa persoalan adakah Nik Zawawi 'mesra' Umno dan sudah menerima gagasan 1Malaysia Najib.

Sebenarnya, gambar tersebut diambil ketika Nik Zawawi menyertai Persidangan Centrist Asia Pacific Democrats International (CAPDI) kali ke-6 di Phnom Penh, Cambodia pada Disember 2010.

Selain Nik Zawawi, turut mewakili PAS menyertai persidangan tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menjelaskan simbol tangan tersebut, Raja Ahmad berkata, ianya bukan isyarat 1Malaysia seperti yang difitnah pihak tertentu, sebaliknya adalah simbol "One Nation Political Parties" yang merupakan trade mark kepada persidangan tersebut.

"Itu lambang kebersamaan semua parti dalam persidangan itu. Tidak ada kena mengena dengan 1 Malaysia pun.

"Ianya sebagai menunjukkan bahawa semua parti politik seluruh Asia Pasifik bersatu untuk politik yang matang dan bersih dan sederhana," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menjelaskan, hanya tiga parti yang menjadi tradisi dijemput pihak penganjur ke persidangan itu iaitu PAS, Umno dan MCA.


~ Harakahdaily

Saturday, 19 January 2013

#Listen : Ini penjelasan dari KS Bawani


Video pelajar universiti dicaci kerana menyatakan pandangannya di laman Youtube yang tersebar luas mendedahkan kepada umum bagaimana institut pengajian tinggi awam menggunakan forum untuk “mencuci otak” mahasiswa.

Pelajar undang-undang tahun dua Bawani K.S. menyatakan rasa terkejut sekarang kerana dirinya bertukar menjadi wira dalam masa satu malam kerana mempersoalkan ahli panel Sharifah Zohra Jabeen dalam forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Disember.

“Sekarang orang ramai akan tahu apa yang berlaku di universiti awam dan bagaimana mereka boleh menganjurkan forum ‘Mahasiswa dalam politik’ dan menggunakannya untuk ‘brainwash’ pelajar dengan memberitahu mereka perhimpunan jalanan adalah salah sambil menunjukkan gambar-gambar pemimpin pembangkang seperti Nurul Izzah dan memberitahu kita agar tidak mencontohi mereka,” kata Bawani .

Aktivis sosial berumur 27 tahun lega insiden tersebut tersebar luas kerana beliau berpeluang mendapatkan lebih ramai orang menyertainya untuk memperjuangkan pendidikan percuma bagi semua rakyat Malaysia.

Apabila diberitahu beliau digelar sebagai “Ambiga Kecil”, Bawani tertawa dan mengatakan betapa pentingnya rakyat mengetahui keperluan meneruskan perjuangan menuntut hak mereka.

Beliau juga berkata Sharifah Zohra tidak perlu meminta maaf kepada dirinya tetapi berhutang maaf kepada semua pelajar dalam forum tersebut.

“Beliau telah perkecilkan semua pelajar dan memperkecilkan kita semua,” kata pelajar tersebut yang juga merupakan seorang ahli Parti Sosialis Malaysia dan organisasi Jaringan Rakyat Tertindas.

Walaupun tidak kecewa kerana dicaci secara terbuka, Bawani masih kesal tentang bagaimana keseluruhan forum dianjurkan untuk menjadikan pelajar universiti menentang perhimpunan Bersih dan perhimpunan jalanan untuk memperjuangkan hak rakyat.

“Dalam kebanyakan forum, mereka menunjukkan klip video perhimpunan dan gambar-gambar wanita yang terlibat dalam perhimpunan dan kemudian memberitahu pelajar-pelajar ini bagaimana wanita perlu bertindak atau berkelakuan dan tindakan tersebut adalah salah,” katanya menceritakan ketika dihubungi.

Beliau juga menyatakan rasa terkejutnya Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menghubungi beliau berhubung kejadian itu.

“Dia memberitahu saya dia menyokong saya dan saya menjawab pemimpin NGO seperti Sharifah tidak harus dibenarkan untuk menganjurkan apa-apa forum yang berat sebelah dalam universiti awam,” katanya.

Bawani berkata adalah lebih adil untuk mempunyai satu forum di mana kedua-dua belah seteru politik hadir membahaskan secara terbuka pandangan yang berbeza mereka mengenai isu-isu. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna internet dan pelajar kerana menyokong beliau dan menggesa mereka untuk menggunakan ini untuk meneruskan perjuangan untuk hak-hak mereka sendiri.

“Marilah berjuang bersama-sama untuk pendidikan percuma bagi semua rakyat Malaysia,” kata pelajar undang-undang yang sudah mempunyai ijazah pertama dalam bidang psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengenai perjuangan beliau untuk pendidikan percuma, Bawani mengkaji isu itu pada tahun 2010 dan merasakan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak, mampu untuk menyediakan pendidikan percuma kepada semua pelajar dari tadika hingga ke peringkat tertinggi.

Video YouTube yang menunjukkan Sharifah Zohra yang mengetuai organisasi tidak dikenali Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), mencaci Bawani tersebar luas semalam di laman media ~ The Malaysian Insider

Sila lihat video tersebut di ( SINI )