Showing posts with label asing. Show all posts
Showing posts with label asing. Show all posts

Saturday, 8 March 2014

Polis maut diserang warga asing


Klang: Seorang anggota polis terbunuh manakala seorang lagi parah selepas diserang lima lelaki warga asing awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi selepas dua anggota kereta peronda (MPV) terserempak kumpulan lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.


Bagaimanapun, selepas cuba menjalankan pemeriksaan kumpulan lelaki berkenaan tiba-tiba melawan menyebabkan berlaku pergelutan sebelum merampas senjata api milik seorang anggota polis.

Selepas merampas penjejayah cuba melepaskan tembakan namun gagal sebelum senjata berkenaan berjaya dirampas semula.

Pada masa sama, seorang lagi anggota polis sempat melepaskan tembakan yang menyebabkan dua penjenayah terbunuh sebelum sepasukan anggota polis yang tiba untuk membantu mendapati seorang anggota peronda parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital ~ myMetro

Dua suspek yang ditembak mati

Sementara itu Berita Harian pula melaporkan..

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohd yang terkorban selepas diserang lima lelaki dipercayai warga asing, dalam kejadian di Taman Sentosa, Klang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi tadi, Raja Aizam bersama seorang lagi anggota, Koperal Mohd Aidil Mustafa dipercayai diserang suspek berkenaan ketika mereka sedang membuat rondaan di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

Kejadian berpunca apabila Raja Aizam dan Mohd Aidil membuat pemeriksaan terhadap kelima-lima suspek di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan pistol milik seorang daripada anggota polis terbabit dirampas suspek.

Mohd Aidil berjaya merampas semula pistol berkenaan dan menembak mati dua suspek terbabit di tempat kejadian.

Sejurus menerima bantuan daripada lima anggota polis yang lain, Raja Aizam dan Mohd Aidil dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan.

Raja Aizam meninggal dunia ketika dirawat di HTAR manakala Mohd Aidil masih menerima rawatan di hospital sama.

Sehubungan itu, sebilah pisau dijumpai berdekatan mangsa dan siasatan masih dijalankan di tempat kejadian dengan bantuan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


..... Al Fatihah buat Allahyarham.... kemudia baru kita persoalkan dimanakah silapnya?.. pemutihan kononnya telah dijalankan oleh Kerajaan namun masih ada yang hitam....

Sunday, 21 July 2013

Ini surat dari Jusuf Kalla menafikan laporan Berita Harian kononnya “Anwar dapat dana asing lancar Blackout 505.”


Mantan Timbalan Presiden Indonesia M Jusuf Kalla menafikan beliau diwawancara oleh Azharri Siddiq mengenai dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana asing untuk membiayai aktiviti Perhimpunan Blackout 505.

“Pertemuan saya dengan Azharri pada 1 Jun lalu hanya silaturahim singkat kerana diatur oleh seorang anggota Parlimen Indonesia,” kata beliau dalam suratnya kepada Ketua Pengarang Berita Harian, Kuala Lumpur semalam, di mana sesalinannya difakskan kepada ibu pejabat PKR.

Jusuf Kalla menjelaskan demikian sebagai merujuk kepada artikel akhbar Berita Harian bertarikh 28 Jun 2013 di bawah tajuk “Anwar dapat dana asing lancar Blackout 505.”

Ujarnya, “saya baru membaca Berita Harian tanggal 28 Jun 2013, artikel yang menyebut ada wawancara khas saya dengan AzharriSiddiq perihal “Anwar dapat dana asing lancar Blackout 505.”

Beliau menafikan bahawa beliau pernah diwawancara mengenai isu tersebut dan apa yang ditulis oleh akhbar itu adalah tidak realistik dan tidak benar.

“Oleh kerana itu, wartawan Azharri telah memohon maaf kepada saya berhubung dengan isu yang menimbulkan kontroversi ini,” jelasnya.


Anwar dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata, beliau akan menyaman Berita Harian kerana menyiarkan berita palsu hingga mencemari nama baik beliau.

Beberapa siri perhimpunan Blackout 505 telah dianjurkan di seluruh negara bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke 13 yang didakwa berlangsung dengan penuh penyelewengan dan penipuan.

Penganjur dan para demonstran turut menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan. ~ free malaysia today

Wednesday, 30 January 2013

Resit Jabatan Pendaftaran Negara dijual dengan harga RM250 bagi membenarkan pendatang asing mengundi..


Bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjual 16,000 resit JPN dengan RM1juta, yang membenarkan pendatang mengundi di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) berkenaan pendatang haram diberitahu hari ini.

Pegawai polis cawangan khas (SB) DSP Badaruddin Ismail yang bekerja di Kelantan memberi keterangan hari ini Ramli Kamaruddin menjual setiap resit dengan harga RM250 setiap satu sekitar 1993 dan 1995 kepada pendatang haram dari Filipina, India, Pakistan dan negara-negara lain.

"Beliau (Ramli) beritahu dia melakukan perkara tersebut kerana wang," kata Badaruddin kepada RCI hari ini.

Badaruddin yang pernah menyoal siasat Ramli, menegaskan Ramli memberitahunya, beliau melakukan perkara tersebut untuk keuntungan peribadi tanpa menerima arahan daripada pihak atasan.

Ramli walau bagaimanapun, memberitahu RCI baru-baru ini, arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, bekas timbalan menteri dalam negeri telah memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit JPN, yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan sama dengan pengundi berdaftar, kepada pendatang.

Ramli telah memberitahu sejumlah 200 resit JPN dikeluarkan bagi lima atau enam kerusi dewan undangan negeri, dimana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya negeri 1994.

Pilihan raya negeri 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.

Akan tetapi beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) PBS melompat menyertai Barisan Nasional (BN), tidak berapa lama selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

Ramli berkata bahawa beliau telah menggunakan sejumlah daripada RM1 juta untuk perkara-perkara peribadi dan memberikan baki kepada pegawainya dan untuk menganjurkan festival sukan di Pulau Pinang untuk pekerja bawahannya, menurut Badaruddin.

Pegawai SB itu menambah bahawa Ramli mengedarkan 14,000 resit JPN kalangan pekerja bawahan untuk dikeluarkan kepada pendatang, manakala 2,000 resit peribadi dikeluarkan oleh Ramli kepada orang-orang tertentu.

Seorang lagi bekas pengarah JPN bernama Datuk Abdul Rauf Sani telah menjual 6,305 kepada pendatang Filipina dan Indonesia, termsuk kepada orang tempatan dengan RM167,300 kata ketua SB sabah Datuk Ibrahim Zakaria kepada RCI awal hari ini.

Ibrahim menambah, 94 orang termasuk 24 pegawai JPN ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1994 hingga 2000 kerana mengeluarkan kad pengenalan di Sabah secara haram.

"Tidak, dia (Rauf) tidak mengatakan dia bertindak atas arahan, tetapi dia bertindak sendiri," kata Ibrahim.

"Dari risikan yang saya kumpul, ia lebih kepada untuk mendapatkan ganjaran, keuntungan," kata Ibrahim, yang memakai sut hitam dan tali leher merah.

Ditanya jika Ibrahim percaya bahawa Rauf telah bertindak sendiri, Ibrahim berkata: "Beliau adalah orang pintar, berpendidikan luar negara, sangat komunikatif, mempunyai kedudukan dalam perkhidmatan kerajaan, saya terima apa yang beliau katakan sebagai kebenaran."

Rauf, bagaimanapun memberitahu RCI baru-baru ini kad pengenalan biru juga dikeluarkan untuk meningkatkan bilangan pengundi Islam di Sabah.

Beliau mengatakan sedar bahawa pendatang di Sabah telah diajar untuk mengundi dalam pilihan raya, jika tidak kad pengenalan mereka akan dibatalkan.

Bekas penolong pendaftar JPN Sabah Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil memberi keterangan baru-baru ini 100,000 kad pengenalan biru telah diberikan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah pada tahun 1993.

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke 1985, menafikan kewujudan "Projek IC" tersebut.

Dr Mahathir memberitahu sidang media baru-baru ini pendatang asing di Sabah memang menerima kerakyatan, tetapi menegaskan ianya "mengikut undang-undang".

Inkuiri dihadapan bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung esok ~ The Malaysian Insider