Showing posts with label Najib... Show all posts
Showing posts with label Najib... Show all posts

Monday, 3 March 2014

Mahathir perlekeh lagi pemberian BR1M oleh Najib..


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mempersoalkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dan mengingatkan ahli politik Barisan Nasional (BN) supaya tidak berada dalam khayalan bahawa pemberian tunai secara meluas seperti itu boleh memberikan sokongan yang lebih kepada kerajaan.

"Perlukah kita akan BR1M? Tanpa BR1M pun, kita pernah mendapat sokongan rakyat," tulis Dr Mahathir dalam blognya.

"Jika mereka tidak sokong, ia adalah kerana mereka tidak puas hati dengan sesuatu, malah mungkin tentang BR1M. Cari sebab mengapa mereka tidak puas hati dan anda akan tahu apa perlu dilakukan."

Dr Mahathir juga memberi respon kepada kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang berkata seramai 17,000 penerima BR1M tahun lepas telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka tidak mahu menerima bantuan kali ini kerana merasakan bukan lagi dalam kategori keluarga susah.

Menurut Ahmad Husni, ia membuktikan tahap kematangan masyarakat semakin tinggi kerana menolak BR1M dengan penuh rasa tanggungjawab.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menempelak kenyataan itu, dan mengatakan ramai yang menyifatkan BR1M sejenis bentuk rasuah.

"Ia tidak mencerminkan perasaan atau sentimen mereka. Perasaan sedemikian lebih baik diperlihatkan apabila mereka mengundi.

“Undi merekalah yang mencerminkan kematangan mereka. Perasaan mereka pula mungkin akan dilahirkan dengan cara lebih kasar," kata beliau.

Dr Mahathir juga memberikan perkiraan jumlah yang perlu dibelanjakan kerajaan bagi menampung pemberian BR1M.

"RM500 seorang untuk 7 juta orang bermakna kerajaan membelanjakan RM3.5 billion. Jika kadar BR1M ditambah kepada RM1,200, kos ini menjadi RM8.4 billion.

“Ini jumlah wang yang banyak. Tetapi masih ramai lagi orang miskin di negara ini," tulisnya, sambil menambah bahawa walaupun beliau menyokong kerajaan, ada beberapa yang beliau tidak setuju.

Putrajaya mengumumkan fasa ketiga program BR1M tahun ini, dengan nilai bantuan ditambah daripada RM500 kepada RM650 bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala RM450 bagi kategori berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000.

Warga emas sebatang kara berumur 60 tahun menerima kenaikan RM100, menjadikan jumlah bantuan RM650, manakala bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 dan ke bawah diberi penambahan RM50, menjadikan bantuan kepada RM300.

~ The Malaysian Insider

Monday, 24 February 2014

Dua lagi Menteri dijangka undur dari kabinet Najib..


Dua menteri Umno sudah menunjukkan mereka mahu keluar daripada Kabinet menjelang rombakan pada Jun, membayangkan peningkatan kejengkelan terhadap tanggapan tiada arah tuju dalam kerajaan, kata sumber dalaman parti.

Ia sekurang-kurangnya membabitkan seorang menteri dalam pasukan ekonomi Putrajaya, yang berdepan dengan isu potongan subsidi, konsesi kenderaan import dan rundingan pakatan perdagangan Pacific Rim.

“Mood di Putrajaya muram. Sekurang-kurangnya dua menteri mahu cepat keluar daripada kerajaan Najib,” kata seorang ahli politik Umno kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada presiden parti dan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pencarian untuk menggantikan tempat itu kini bermula tetapi kekurangan bakat. Kita mempunyai sedikit sangat menteri atau ahli politik yang berkelayakan,” katanya.

Pasukan ekonomi Najib merangkumi dirinya sendiri sebagai menteri kewangan 1; Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; penasihat ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Husni dan Abdul Wahid mendiamkan diri sejak kebelakangan ini selepas Putrajaya membuat keputusan menarik balik kenaikan kadar tol yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau berkata kerajaan akan membayar RM400 juta kepada pemegang konsesi tol sebagai ganti rugi.

Mustapa dan kementeriannya menjadi perhatian kerana masih belum lagi memuktamadkan sistem Permit Import (AP) untuk kenderaan, yang semakin meningkatkan harga, dan kerana masih berbincang dengan rakan kongsi dalam Pacific Rim untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Perdana menteri masih boleh menambah seorang lagi timbalan menteri dalam Kementerian Kewangan, ruang yang disimpan untuk MCA kerana parti komponen senior Barisan Nasional (BN) itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya tahun lalu.

Seorang pakar strategi Umno berkata, kemasukan MCA tidak akan memberi kesan besar terhadap kerajaan Najib, yang berdepan dengan perang prasangka lebih besar selepas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan secara mengejut sebagai timbalan menteri, minggu lalu.

“Kabinet seperti sudah tidak ada calon dan MCA tidak terlalu menonjol, maka kemasukan mereka nanti tidak akan mengubah apa-apa.

“Kerajaan perlu cepat keluar daripada kesuraman ini dan bekerja kuat. Mereka tidak akan kehilangan apa-apa sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Pengkritik berkata, pentadbiran Najib gagal meredakan peningkatan ketegangan perkauman dan agama dalam negara, terutama di Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir oleh pembangkang.

Katanya, polis berjanji untuk bertindak tetapi setakat ini, hanya pemimpin pembangkang yang berdepan dengan cabaran besar.

Najib juga berdepan dengan kritikan daripada parti Umno sendiri, terutama golongan veterannya, yang percaya bahawa perdana menteri perlu melakukan lebih lagi untuk memotong perbelanjaan, bukan semata-mata potong subsidi.

“Kerajaan memerlukan kepimpinan lebih tegas dan lebih memahami apa yang berlaku dalam Malaysia. Mereka kelihatan seperti tidak tahu dan kadang-kadang, nampak tidak peduli.

“Mungkin itu sebabnya mereka mereka berperasaan muram. Mereka tiada arah, tiada petunjuk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan Putrajaya terus berkuasa,” kata seorang ahli Umno.

~ The Malaysian Insider

Tuesday, 12 February 2013

1,000 Pelajar dipaksa hadir ke 'Program Kesukarelawan' Najib..

Nama program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini ialah Program Kesukarelawan -" MY BEAUTIFUL MALAYSIA".

Ianya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 3hb Febuari 2013 (esok) sempena dengan lawatan beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato' Haron Petaling Jaya, Selangor.

Namun begitu, meskipun nama program ialah Program Kesukarelaan.. namun kehadiran adalah paksaan. 1,000 orang pelajar dari kedua-dua buah sekolah berkenaan telah diwajibkan hadir bagi meramaikan majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri itu.

Mereka meliputi pelajar-pelajar dari Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan juga Tingkatan 5, pendek kata hampir semua pelajar diwajibkan hadir.

Bagi memastikan semua pelajar tersebut hadir, penglibatan pelajar dalam menjayakan misi membodek Najib oleh Pengetua SMK Taman Dato Haron itu, akan diambil kira dalam penilaian Kokurikulum perringkat kebangsaan.

Dan ianya juga akan diambil kira untuk pemarkahan dalam penilaian kokurikulum PAJSK.


Apalah yang boleh dibanggakan jika yang hadir dipaksa...