Showing posts with label dipecah. Show all posts
Showing posts with label dipecah. Show all posts

Sunday, 23 February 2014

Rumah EXCO Pahang dipecah masuk, kerugian RM10,000


Seorang anggota exco negeri mengalami kerugian hampir RM10,000 setelah rumahnya di Medan Tok Sira dipecah masuk dalam kejadian awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian disedari kira-kira pukul 3.05 pagi oleh anak lelaki anggota exco itu yang ketika itu baru tiba di rumah.

"Pengadu yang merupakan pelajar sebuah universiti swasta di ibu negara itu terkejut apabila mendapati pintu dapur rumahnya terbuka dan atap genting tercabut.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua bilik di rumahnya berselerak dan sebuah televisyen LCD 60 inci di ruang tamu dan permainan video yang diletakkan dalam bilik tidur pengadu hilang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pengadu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 5 pagi dan menganggar kerugian keseluruhan bernilai lebih kurang RM10,000.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mencabut tiga keping atap genting ruang dapur dan masuk melalui bumbung selain turut mengumpil jeriji besi pintu dapur.

"Polis bagaimanapun berjaya menemui kesan cap jari yang ditinggalkan suspek terbabit dan polis kini sedang mengesan penjenayah yang terlibat," katanya. – Bernama

Sunday, 21 July 2013

Rumah bekas exco Melaka dipecah masuk ketika beliau sibuk di Kuala Besut


Tatkala bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Melaka Datuk Ab Karim Sulaiman sibuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Kuala Besut, rumahnya di Sungai Udang di Alor Gajah dipecah masuk awal pagi ini.

Menantu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara itu, Amir Ariffin, 37, berkata kejadian itu disedarinya apabila pulang ke rumah itu pada 11.30 pagi ini dan mendapati televisyen 43 inci, set teater rumah dan beberapa beg pakaian hilang.

"Ketika kejadian semua keluarga saya berada di sebuah lagi rumah kami di Kampung Seri Jeram. Ketika pulang ke rumah ini saya dapati pintu belakang rumah telah diumpil dan ada kesan tapak kaki di pagar juga rumput di belakang rumah.

"Jiran saya ada terlihat sebuah kereta menurunkan seseorang di tepi rumah ini pada pukul 5.30 pagi tadi dan kembali semula mengambil orang itu kira-kira sejam selepas itu. Beliau (Ab Karim) telah dimaklumkan perkara ini dan akan pulang malam ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Amir yang merupakan pegawai di Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata kira-kira dua bulan lepas rumah itu juga cuba dimasuki pencuri tetapi gagal.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes sedang disiasat. - Bernama

Tahun lepas rumah exco Melaka dipecah masuk kerugian RM200,000 baca di ( SINI )