Saturday, 27 July 2013

5 Soalan Dari Rafizi Yang Pengerusi Dan Timbalan Pengerusi SPR Perlu Jawab..


Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, yang mencabarnya mengulangi kenyataan di luar Dewan Rakyat berhubung pembekal dakwat kekal hanya sebagai cubaan menutup kegagalan suruhanjaya itu mengendalikan PRU13 lalu.

Pengarah Strategi PKR itu juga berkata tidak timbul isu mahu mencabarnya mengulangi kenyataan di luar dewan memandangkan beliau sudahpun bercakap tentang isu itu kepada media di luar dewan ketika persidangan parlimen yang berakhir minggu lalu.

"Kenyataan di luar dewan yang telah saya buat adalah mencukupi untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.

"Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan oleh kedua-dua mereka sekarang," katanya.

Apa yang lebih penting ujar Rafizi, adalah jawapan dari kedua-dua pemimpin tertinggi SPR ini berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh beliau berhubung kegagalan kedua-dua mereka mengendalikan pilihanraya dengan adil, bebas dan telus.

Kegagalan ini ujarnya dibuktikan dengan pelbagai laporan dan dakwaan terhadap mereka, terutamanya kegagalan pelaksanaan dakwat kekal.

"Apabila diselidiki, didapati bahawa kegagalan dakwat kekal itu berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain," jelas Rafizi lagi.

Menurut Rafizi, sebagai pimpinan tertinggi SPR, kedua-dua mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada kesemua perkara ini – dari kegagalan dakwat kekal sehinggalah kepada perlantikan pembekal melalui rundingan terus yang membolot kontrak-kontrak pembekalan tetapi gagal melaksanakannya dengan baik.

Beliau turut mengemukakan beberapa persoalan yang menuntut jawapan konkrit dari kedua-dua bos SPR itu.

1. Kenapa syarikat-syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihanraya SPR termasuk dakwat kekal?

2. Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihanraya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

3. Apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?

4. Semasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR menjawab pelbagai pertanyaan media mengenai dakwat kekal, apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak berbincang langsung mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai lain? Mustahil Pengerusi dan Timbalan Pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?

5. Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat? "Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang," tegasnya.

0 comments:

Post a Comment