Seorang anggota exco negeri mengalami kerugian hampir RM10,000 setelah rumahnya di Medan Tok Sira dipecah masuk dalam kejadian awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian disedari kira-kira pukul 3.05 pagi oleh anak lelaki anggota exco itu yang ketika itu baru tiba di rumah.
"Pengadu yang merupakan pelajar sebuah universiti swasta di ibu negara itu terkejut apabila mendapati pintu dapur rumahnya terbuka dan atap genting tercabut.
"Hasil pemeriksaan mendapati semua bilik di rumahnya berselerak dan sebuah televisyen LCD 60 inci di ruang tamu dan permainan video yang diletakkan dalam bilik tidur pengadu hilang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pengadu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 5 pagi dan menganggar kerugian keseluruhan bernilai lebih kurang RM10,000.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mencabut tiga keping atap genting ruang dapur dan masuk melalui bumbung selain turut mengumpil jeriji besi pintu dapur.
"Polis bagaimanapun berjaya menemui kesan cap jari yang ditinggalkan suspek terbabit dan polis kini sedang mengesan penjenayah yang terlibat," katanya. – Bernama
0 comments:
Post a Comment