Saturday, 3 August 2013

KPN nafi mengatakan suspek tembak Sanjeevan merupakan rakannya


Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan portal Free Malaysia Today (FMT) memetik dirinya berkata suspek yang terlibat dalam kes cubaan bunuh Pengerusi Mywatch, R. Sri Sanjeevan merupakan rakannnya sendiri.

Menurut Ketua Polis Negara (KPN) itu, ketika sidang media berlangsung semalam beliau langsung tidak menyebut tentang suspek tersebut.

"Dalam sidang media semalam saya tidak pernah mengatakan Sanjeevan dibunuh oleh rakannya sendiri, laporan dari FMT itu tidak benar, katanya melalui akaun Twitter milik beliau.

"Sebelum membuat pelbagai andaian biar kami siasat kes ini sehingga kami dapat mengumpulkan maklumat mengenai kejadian ini," kata beliau lagi.

Bagaimanapun beliau memahami kebimbangan orang ramai terhadap kes bunuh yang semakin meningkat kebelakangan ini.

"Benar ia merisaukan semua orang dan PDRM melakukan sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan kita juga menyeru orang ramai untuk bersama dengan kita membanteras jenayah ini," Abdul Khalid berkata.

Semalam FMT melaporkan Khalid memberitahu suspek yang disyaki terbabit dalam kes cubaan membunuh Sanjeevan dipercayai rakanya sendiri.

Mengikut laporan itu tersebut KPN dilaporkan berkata siasatan awal membawa kepada petunjuk yang mengejutkan kerana suspek bukan merupakan penembak upahan tetapi adalah rakan kenalan itu sendiri.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ekoran siasatan sedang dijalankan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Sabtu lalu Sanjeevan ditembak oleh seorang dari dua lelaki berhenti di satu persimpangan di Bahau, Jempol.

Sebelum kejadian itu, Sanjeevan ada membuat laporan polis mengenai ancaman nyawa terhadapnya.

Mangsa dikatakan merancang membuat pendedahan berkaitan dakwaannya mengenai sebahagian pegawai polis terbabit dalam sindiket jenayah berat.

Pada masa ini, Sanjeevan masih dirawat di hospital dan keadaannya dilapor stabil.


~ The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment