Datuk Zaid Ibrahim tidak memberikan fakta yang betul dalam menafikan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, kata pengarahnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Redzuan berkata, kenyataan Zaid yang mengatakan beliau seangkatan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) adalah tidak benar kerana semasa beliau bersama pertubuhan itu pada 1982, Anwar sudah pun menyertai Umno.
“Beza saya dengan Zaid, dia pernah `jilat’ Anwar dulu, saya tak pernah.
“Anwar pun tak tahu kami buat kajian tentang Kajang dan bakal menteri besar Selangor. Semua soalan kami sediakan sendiri,” kata Redzuan kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Semalam, Zaid mempertikaikan kajian Umcedel dengan mengatakan Anwar mempunyai pengaruh dalam kajian badan itu berkaitan PRK DUN Kajang yang menghasilkan dapatan positif kepadanya.
Dalam kajian Umcedel yang dibentangkan minggu lalu, 59% daripada 576 responden ditinjau mengatakan “ya” apabila ditanya sama ada munasabah mengadakan pilihan raya untuk membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.
“Beza saya dengan orang lain, saya bersangka baik dengan semua orang tidak kira Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahupun Anwar.
“Saya tidak pernah hina Anwar, kalau saya hina mungkin sudah jadi timbalan menteri sekarang,” kata Redzuan sambil tertawa.
PRK Kajang akan diadakan pada 23 Mac ini manakala penamaan calonnya dijadualkan pada 11 Mac selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.
Peletakan Anwar sebagai calon DUN Kajang dikatakan untuk meredakan ketegangan di antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Dalam kajian yang dibentangkan minggu lalu, Redzuan berkata, pengundi di Kajang berpendapat PRK pada 23 Mac ini bukan pembaziran apabila majoriti responden iaitu 53% berpendapat sedemikian dengan kaum India mewakili 60%, Cina (54%) dan Melayu (50%).
Katanya, pengundi di Kajang juga melihat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melengahkan hari pengundian mencalarkan reputasi suruhanjaya itu apabila 48% responden mengakuinya dengan sokongan pecahan Cina (57%), India (42%) dan Melayu 41%.
Dalam tulisan di blognya semalam, Zaid yang juga bekas ahli PKR berkata, Anwar dan Redzuan seangkatan dalam Abim.
"Redzuan pengarah Umcedel. Beliau juga kawan Anwar ketika zaman Abim,” kata Zaid dalam blognya.
Mengulas kenyataan menteri besar Selangor yang tidak bersetuju dengan kajian Umcedel berhubung sokongan pengundi Kajang terhadap Anwar sebagai menteri besar Selangor, Redzuan berkata: “Khalid mungkin tidak faham metodologi kajian, 59% bukanlah angka yang besar, lainlah 80%.”
~ The Malaysian Insider
0 comments:
Post a Comment