Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Barisan Nasional (BN) terpaksa mencipta ribuan pembohongan untuk menutup penipuan asal mengenai kemelut “yee sang” pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina BN di Pulau Pinang yang menampilkan bintang K-Pop Korea Selatan, Psy dan Gangnam Style.
Katanya, pada asalnya, kemelut “yee sang” yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dijelaskan penganjur BN Pulau Pinang bahawa aturcara majlis dirosakkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen sehingga pemimpin BN “merah muka” apabila membuat keputusan mengejut supaya menjemput Psy menyertai upacara “yee sang” walaupun tidak terdapat di dalam program.
“Bagaimanapun, Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kabinet terpaksa menempuh kejadian memalukan itu kerana menunggu Psy selama lima minit di atas pentas untuk menyertai mereka dalam upacara “menggaul yee sang”.
“Setelah hampa, semua mereka kemudian terpaksa malu-malu turun daripada pentas apabila upacara “menggaul yee sang” tidak disempurnakan dan dianggap orang ramai sebagai petanda buruk.
“Perdana Menteri serta barisan pemimpin BN Pulau Pinang terpaksa meninggalkan pentas itu kerana hampa menunggu Psy selama lima minit untuk turut serta menggaul yee sang, di samping wajah panik kerana polis memberi amaran ancaman “bunuh” atau “keselamatan” menjadikan peristiwa itu jenaka ramai, kerana terakam dan dimuatnaik ke YouTube,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ancaman bunuh itu, jika benar ditujukan kepada Psy di lapangan terbang dan hotel, bukannya di tapak Sekolah Han Chiang menimbulkan pertanyaan sama ada “ancaman bunuh” terhadap Psy itu dipercayai atau sekadar lawak kebudak-budakan.
Katanya, adakah polis telah menyiasat dakwaan ancaman bunuh terhadap Psy di Pulau Pinang itu, walaupun Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan SMS daripada pengurus bintang K-Pop Korea Selatan, Psy kepada pihak polis berkenaan ancaman bunuh itu.
Semalam, Rahim menunjukkan kepada wartawan SMS yang dihantar pengurus Psy kepada polis pada 10 Februari lalu yang menyatakan: “Kami menerima ancaman bunuh yang serius yang mengatakan mereka akan menghentikan Psy apa cara sekalipun di lapangan terbang dan hotel di Pulau Pinang.”
Berikutan itu, Ketua Polis Pulau Pinang berkata polis telah mengetatkan kawalan keselamatan dengan menghantar 11 pegawai untuk memastikan bintang Korea itu selamat sewaktu ketibaannya pada pagi 11 Februari lalu.
Menurut Kit Siang, kemudian terdapat versi kedua yang bercanggah dengan versi pertama yang mendakwa kemelut “yee sang” Najib itu berpunca daripada ancaman terhadap nyawa Psy dan Perdana Menteri. Semalam Rahim berkata, tiada ancaman bunuh terhadap Perdana Menteri, kerana tiada bukti terdapatnya “ancaman bunuh” terhadap Psy di Sekolah Han Chiang.
“Mengapa penganjur BN tergesa-gesa membawa Najib dan VIP lain turun pentas sebelum menyempurnakan upacara “yee sang”
“Ini membuktikan penganjur BN Pulau Pinang hanya melakukan ribuan penipuan untuk menutup satu penipuan itu yang sehingga kini belum lagi menjelaskan kemelut “yee sang” Najib itu selepas Tahun Baru Cina lapan hari lalu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment