MK melaporkan Bala yang baru tiba di KLIA bersumpah bahawa SD (Akuan Bersumpah) pertamanya yang dibuat pada Julai 2008 adalah BENAR SD itu mengaitkan Najib dengan rakyat Mongolia Altantuya Shaaariibu.
"Saya bersumpah atas kitab suci ini bahawa SD pertama saya adalah benar. Saya memohon maaf kepada semua kerana SD kedua adalah tidak benar," kata Bala seperti yang dilaporkan oleh MC
Bala berkata demikian sambil memegang Kitab Bhagavad Gita. --DCM
Berita penuh menyusul....
Kemas Kini:
Tujuan Pulang Untuk Bersama Rakyat Lakukan Perubahan, Kata Bala
[TMI] SEPANG, 24 Feb — P Balasubramaniam berkata kepulangannya ke tanahair adalah kerana mahu bersama-sama rakyat Malaysia lakukan perubahan untuk menukar kerajaan yang dianggapnya sebagai korup pada Pilihanraya 2013 yang dijangka tidak lama lagi.
Balasubramaniam merupakan salah seorang saksi dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantunyaa Shaariibuu pada 2008 dan mencetus kontroversi selepas menukar Pengakuan Bersumpah (SD) sehari selepas membuat pengakuan yang pertama.
“Saya pulang kerana mahu bersama rakyat Malaysia.
“Kita perlu menukar kerajaan yang korup ini, kita perlu tukar. Jika kita biarkan berlanjutan 50 tahun lagi, negara kita akan teruk,” kata Subramaniam yang baru tiba dari India hari ini.
Dalam laporan media awal minggu lalu, Balasubramanian telah menyatakan hasratnya secara terbuka untuk pulang ke Malaysia dan menetap secara tetap serta pada masa membantu Pakatan Rakyat (PR) berkempen dalam pilihan raya nanti.
Apabila ditanya mengapa sekarang baru pulang ke Malaysia, Balasubramaniam berkata beliau mendapati sokongan dan kebangkitan rakyat Malaysia untuk menentang kerajaan sebagai salah satu keyakinan buat dirinya untuk pulang ke Malaysia.
“Sepanjang saya di luar negara, saya ada memantau tentang perkembangan politik di Malaysia.
“Saya lihat rakyat Malaysia telah bangkit dan berani melawan kerajaan,” tambah beliau lagi.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini, penyiasat persendirian itu bersumpah secara terbuka mengatakan SD pertamanya adalah tulen dihadapan kira-kira 50 penyokong PKR yang menanti kepulangannya selepas beberapa tahun menghilangkan diri diluar negara.
“Di hadapan kitab suci agama Hindu (Bhagaravad Gita) ini, saya bersumpah bahawa Pengakuan Bersumpah yang kedua adalah tidak benar tetapi yang pertama tersebut adalah benar,” ujar Balasubramaniam.
Beliau juga sekali lagi menegaskan kepada wartawan bahawa SD kedua yang ditandatanganinya ketika itu adalah secara paksaan dan bukan sukarela.
“Semasa insiden yang berlaku pada malam itu, saya terpaksa menukarnya kerana bimbang tentang keselamatan keluarga dan diri saya.
“Saya minta maaf dengan masalah selepas SD kedua itu, tapi ingin saya ulangi disini SD kedua adalah bukan pengakuan yang sebenarnya,” kata Balasubramaniam lagi.
Balasubramaniam yang tiba seorang diri tanpa ditemani ahli keluarganya yang masih berada di India kelihatan tenang dan mengulangi pendiriannya untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) mencapai kemenangan pada Pilihan Raya 2013.
Selain itu, Balasubramaniam juga berkata kekesalannya meninggalkan negara secara tergesa-gesa sebaik menandatangani SD kedua memandangkan situasi ketika itu memaksa dirinya untuk melakukan demikian.
“Selepas kejadian dan ugutan yang saya dan keluarga, tiada jalan lain selain keluar dari Malaysia,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang pendedahan oleh usahawan karpet Deepak Jaikishan yang mengatakan membantunya dalam mendrafkan SD kedua, Balasubramaniam mengatakan perkara tersebut adalah benar dan tidak perlu disembunyikan lagi.
0 comments:
Post a Comment