Friday, 15 February 2013

Nazri Aziz sahkan media perdana ditunggangi oleh UMNO/BN..


Jawatankuasa Penilaian Pilihan Raya Muslim Eropah mendedahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengakui media arus perdana memang alat untuk kerajaan Umno BN.

Wakil jawatankuasa itu, Drs Fadime Orgu menjelaskan, kenyataan tersebut dinyatakan Nazri ketika pertemuan mereka di Parlimen, tengah hari tadi.

“Pimpinan pembangkang ketika kami temui hampir semua menyatakan tentang tidak ada kesamarataan media dan pembangkang tidak diberi ruang langsung untuk menjelas agenda mereka dalam media arus perdana terutama menjelang pilihan raya.

“Kami bertanya kepada Nazri, mengapa tidak diberi sebarang liputan kepada pembangkang.

“Beliau menjawab, Malaysia tidak sama dengan negara lain. Media awam arus perdana (TV3, Utusan) sememangnya alat untuk kerajaan,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di ibu negara, petang tadi, ditemani rakannya, Zoulhair Amri.

Menurut Fadime, Nazri juga menyatakan kesudiannya untuk membuat penyelidikan berkenaan proses pilihan raya yang tidak telus.

“Kami bertanya kepada beliau tentang pendedahan berhubung pilihan raya yang berjalan tidak bersih dan tidak adil.

“Beliau menyatakan bahawa penyelidikan ‘akan’ diadakan mengenai permasalahan tersebut,” kata bekas Ahli Parlimen Belanda itu.

Tambahnya, perkembangan beberapa pergerakan di Malaysia semakin lebih baik.

“Dalam siri pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang dan NGO, kami dapati perkembangan demokrasi di sini semakin baik.

“Beberapa pergerakan yang berlaku di Malaysia contohnya seperti Bersih, pergerakan memperjuangkan hak alam sekitar dan gerakan dari mahasiswa merupakan perkara yang positif untuk negara.

“Kami akan menyiapkan laporan penuh pemerhatian selama tiga hari di Malaysia ini dalam masa beberapa minggu lagi,” ujarnya.

Turut hadir Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh dan Pengarah Hal Ehwal Parlimen Pejabat Ketua Umum KEADILAN, Abdul Malek Hussin.

~ Keadilandaily

0 comments:

Post a Comment